Bicara Seni : Vokalisasi Puisi : Kalam Bersulam Salam

VOKALISASI PUISI: KALAM BERSULAM SALAM
 


Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)



BAHASA dalam kesusasteraan seperti juga bidang-bidang lain adalah media perhubungan sesama anggota masyarakat dalam kegiatan kebudayaan. Budayawan dan para pujangga banyak berpendapat bahawa kesusasteraan adalah pengucapan atau tulisan yang tergolong dalam jenis kreatif-imaginatif dan sangat berlainan dari tulisan-tulisan yang bermaklumat dan pesuasif.

Karya sastera tidak juga sama dengan buku ilmu pengetahuan. Pun tulisan sastera bukan juga iklan. Kesudahan dari tulisan kreatif ‘tidak dapat diukur’ sebagaimana orang dapat mengukur pada tulisan berbentuk iklan. Unsur-unsur bahasa dan bentuk yang pelbagai, baik seragam atau penuh konflik, atau pun hubungan dan gabungan di antara sesama unsur-unsur tersebut dengan dunia realiti di luar karya itu adalah merupakan keunikan dan keberhasilan sebuah karya kreatif.

Bron, Wenworth dan Sterling Olmstedt dan buku mereka, Language and Literature, Brace Press, New York, berpendapat bahawa makna dari karya sastera itu baru timbul setelah kita tanggapi ia dalam segala seginya. Kesatuan karya pula terletak pada komponen-komponen penting bentuknya. Dalam fiksi dan drana, komponen-komponen penting ini adalah faktor-faktor seperti tindakan, konflik, kumpulan watak dan sudut pandangan penceritaan (point of view). Dalam puisi, lirik pula unsur-unsur yang penting, adalah metafora, pekembangan imej, pola-pola bunyi dan simbol.

Mereka berpendapat lagi bahawa unsur-unsur penting ini tidak berdiri sendiri tetapi saling sandar menyandar yang orginis. Bahaya yang dipakai dalam kesusasteraan bukan sekadar berfungsi sebagai alat perhubungan malah memperluas erti perhubungan itu. Dengan kata lain, bahasa dalam kesusasteraan bukan setakat mengungkapkan apa yang tersurat malah apa yang tersirat.

Mari kita hayati beberapa rangkap dari 'Syair Nasihat' cetusan minda Tokoh Sasterawan Islam Brunei iaitu Muda Omar ‘Ali Safuddien, nama pena bagi Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien:

Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh
Disertai dengan hati yang patuh
Ibarat tanaman pastilah tumbuh
Dapatlah nikmat buah diluruh.
Inilah keadaan orang beriman
Pegangan teguh lagi budiman
Segala perbuatannya amat siuman
Menurut hadis beserta firman.

Dalam memperkatakan ciptaan seni bukan setakat memerhati strukturnya tapi yang penting ialah harus merujuk kepada manusianya, yakni penciptanya. Jelas bahawa seni sastera adalah pengucapan yang menggunakan lambang-lambang. Seorang pencerita memilih bukan sahaja kata-kata dan gaya malah memberi isi pada cerita, dalam fiksi bahasa digunakan untuk mencipta. Terserlah kebijaksanaan pemikiran dalam syair-syair yang dicipta itu.

Dalam hal ini saya teringat kepada pesanan penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2008 iaitu Yahya M.S., nama pena bagi Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, semasa Pertemuan Sasterawan Brunei Ke-2 tahun 2003 yang berkata bahawa para sasterawan perlu menggunakan kebijaksanaan fikiran dengan bahasa yang tersusun rapi, indah dan menarik, mempengaruhi dunia pembaca dan menimbulkan responds dan malah mungkin bangun bertindak menyahut ‘perutusan’ mereka. Inilah yang menjadi cita setiap orang yang menjadi sasterawan. Dengan kata lain sasterawan dengan karyanya membangkit rasa dan emosi para pembaca.

Bercakap tentang kegiatan seni sastera ini maka saya pun terpanggil untuk mengajak para pembaca menyorot tentang keindahan dan kesyahduan segmen persembahan memantun seni (istilah yang digunapakai oleh Zefri Ariff Brunei) yang diberi nama 'Vokalisasi Puisi: Kalam Bersulam Salam.'

Persembahan jangka masa hampir satu jam ini dipersembahkan dalam Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Brunei pada awal November lepas.

Persembahan memantun seni ini dihidangkan di depan khalayak yang turut menjadi halwa telinga dan deria mata golongan elit, penggubal-penggubal dasar negara, penulis-penulis kreatif (termasuk penerima-penerima S.E.A. Write Award dan Anugerah Sastera MASTERA) dan non-kreatif, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, di samping orang-orang berpendidikan tinggi dari segenap aliran pembelajaran termasuklah akitek binaan, akauntan dan doktor gigi serta lain-lain.

Persembahan memantun seni ini adalah gabungan empat konsep seni iaitu lakon atau teater, menambang syair, deklamasi sajak dan musik. Apa yang uniknya, konsep dan idea dalam persembahan ini melahirkan suatu gaya bitara dalam penyampaian terutama menambang syair. Menambang syair, bagi kita bangsa Brunei, adalah merupakan warisan budaya yang tetap utuh dalam segala zaman.

Otak pelaku atau 'mastermind' persembahan ini adalah Zefri Ariff bin Zain Arif (nama penanya ialah Zefri Ariff Brunei) dengan mengetengahkan serta dibantu sepenuhnya oleh ahli Kelab Rakis, Universiti Brunei Darussalam dan Kumpulan Putra Seni, Brunei Darussalam.

Lakonan bersahaja bakat semulajadi yang dipertontonkan oleh Pengiran Haji Md. Don bin Pengiran Haji Besar (imbauan saya langsung ke drama 'Badik' popular tahun akhir 70-an di RTB) dan Shafie Mosdar cukup menghidupkan suasana. Kita turut ceria dan kekadang ketawa selamba kerana tersirat makna. Tahniah!

Dialog-dialog mudah dan segar-bugar (ever-green) tapi sarat dengan elemen-elemen pembelajaran, kesedaran dan sejarah, mungkin ketika itu, berjaya menyuntik semangat jati diri di kalangan para penonton. Mudah-mudahan suntikan ini berlanjutan! Zefri Ariff bijak mencipta dialog, sinis dalam nada kelucuan. Syabas!

Gemersik dan liuk lintuknya alunan menambang syair yang berpuput lembut oleh dua orang ‘tunas remaja’ mampu mengudara nostalgia. Kedua-dua penambang syair itu begitu santai namun cukup memukau. Sungguh-sungguh menambang syair, bukan membaca syair. Rangkap-rangkap syair mendayu syahdu dan dikonotasikan sebegitu telus dan lurus menambah lagi daya tarikan.

Kita angkat topi, hormat pada generasi penerus. Menambang syair bukan untuk orang tua-tua sahaja, bukan. Ayo para remaja, jom kita sama-sama menambang syair! Membaca syair dan menambang syair adalah dua entiti yang sungguh berbeza. Syair ciptaan Muda Omar ‘Ali Saifuddien:

Ilmu sentiasa mengikut diri
Ilmu di badan tiada lari
Hendaklah bersungguh dipelajari
Ilmu pengetahuan membawa seri.
Cintakan ilmu pergi belajar
Selepas tamat kemudian mengajar
Daripada menyingsing fajar
Laila ilmu elok dikejar.

Sebahagian penonton tanpa sedar menitiskan air mata (termasuk saya sendiri) jika sungguh-sungguh dihayati. Mendengar orang menambang syair bagi mereka yang tinggal dan menetap lama di Kampong Ayer mudah mencetus gamitan segenap pancaindera. Ini pengalaman! Tambang syair dilatari dengan bantingan lembut gambus yang cuma rendah kedengaran berpunca dari sistem pembesar suara. Salah siapa? Pengeseknya, Awang Haji Md. Yassin bin Haji Hassan membanting penuh gariat (ghairah) dan penghayatan.

Menambang syair yang juga diselang-selikan dengan deklamasi puisi ciptaan Zefri Ariff turut membahana rasa. Syabas kepada para pendeklamator puisi. Cuma nada tinggi dan terlalu nyaring tajam serta lantang pendeklamator dewi menjejaskan keramahan serasi umum watak wanita Brunei yang amat lembut dan jinak-jinak merpati!

Segmen 'Vokalisasi Puisi: Kalam Bersulam Salam' mengajak kita untuk berfikir tentang keperluan pendewasaan seni sastera tempatan, termasuk memantun seni, dalam mengisi tuntutan kemerdekaan dan psikologi masyarakat kita. Lagi pun bangsa yang tidak mempunyai peribadi atau tidak menginsafi nilai-nilai kewujudan budaya bangsanya sendiri tidak boleh menjadi bangsa yang besar lagi digalati. Walhal, kita mahu jadi bangsa yang dihormati dan bangga dengan tamadun sendiri.

Penulis kreatif tetap mempunyai tempat dan tanggungjawabnya dalam pembentukan dan survival suatu negara bangsa yang dianggotainya. Dan kesanggupan seseorang dalam bidang kemahirannya sendiri ke arah memupuk satu pendekatan gaya bitara memantun seni mampu menjadi kebanggaan akar sejarah bangsa. Siapa yang berani tolak kemampuan warga-warga berjasa kita dalam bidang seni sastera? Hanya mereka yang buta budaya, buta sastera, buta jati diri bangsa sendiri yang mahu meminggirkan! Memang benar, seperti madah puisi Zefri Ariff:

Masa ini bukan hanya sekadar-kadar
kerana yang tiada pasti
kerana yang tiada ganti
kerana yang tiada budi
akan hilang hanyut disisa arus
kecuali mereka yang tetap pada paksi hak
kerana kalam terus bersulam madah
tiadalah walang ketika nama dijulang
Al-Marhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien
dinobat sebagai 'Tokoh Sasterawan Islam'
Brunei Darussalam.
Bicara terkelu kerana kisah dagang
terhampar di depan mata ketika
pada kalimat-kalimat itu mula terbentang
tiada siapa teruji dengan kenyataan
benarlah seorang dagang bernama
Al-Mahrum Pengiran Shahbandar nama gelaran
'Pelopor Kesusasteraan Moden Brunei.'

Persoalannya, apakah tidak mungkin persembahan serupa ini diangkat sebagai satu segmen dalam acara-acara yang bersifat nasional! Persembahan memantun seni tidak setakat dihidangkan dalam acara atau majlis yang bersifat kesusasteraan. Persembahan serupa ini, setentunya rangkap-rangkap syair sasterawan diraja dijadikan fokus, boleh dijadikan sebagai satu segmen acara utama dalam perayaan-perayaan yang bersifat kebangsaan seperti menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Masih belum lewat kiranya persembahan memantun seni yang dipersembahkan pada 5 November 2008 lepas akan dapat dihidangkan untuk tontonan khalayak terutama sempena Sambutan Jubli Parak (25 Tahun) Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam! Menunggu dan penangguhan untuk tahun-tahun depan bukan keputusan bijak. Para budiman berkata peluang tidak datang berulang kali. Ayo, bertindaklah.

Cetusan minda kali ini ditutup dengan madah Omar ‘Ali Saifudien dalam 'Syair Laila Cinta.'

Luruskan kata lailakan hati
Laksanakan kebajikan laila seperti
Menghubungkan kebaikan adalah pasti
Mekar bersuli cempaka di hati.
Padahnya untung bercakap benar
Akhirnya terang lagi bersinar
Berlagak tiada membuat onar
Laila jamput (ambil) laila binar (amati).


Rujukan : Pelita Brunei
Category:

Bicara Seni : Sastera Klasik Dicipta Bukan Sekar Saja-saja

Sastera klasik, dicipta bukan sekadar saja-saja


Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


ELOK kita bertanya: Apa manfaatnya membaca, menghayati dan mengkaji Sastera Klasik, seperti: Syair, gurindam, seloka, pantun dan seumpamanya? Sebenarnya dari karya-karya lama seperti: Syair, kita secara langsung dapat memahami tentang sesuatu falsafah yang diamalkan oleh suatu bangsa di zaman itu.

Sastera Lama yang juga dipanggil sastera klasik mampu mendedahkan suatu ruang untuk memahami corak kemasyarakatan sesuatu negara kerana sastera itu sendiri adalah catatan jiwa bangsa itu. Nah, di bawah adalah rangkap syair Rampaian Laila Syair karangan Muda Omar 'Ali Saifuddien, Sultan Brunei ke-28:
 
Mata pelajaran pelita hati
indah budi laila terbukti
meninggalkan jasa pelita mati
laila setia amalan bakti.

Pelita mati jasa kenangan
pelita hati pelajaran kebilangan
laila terbukti budi julangan
setia bakti laila kesayangan.

Laila gasing pening-peningan
tarah kayu bakal-bakal
mata berjasa jadi kenangan
mata pelajaran menambahkan akal.

 
Dengan makna lain sastera klasik mematulkan aspek-aspek ilmu kemasyarakatan dan sejarah. Sastera klasik saling bantu-membantu dan bukan suatu yang terpisah. Antara satu sama lain, saling kait-mengait, bagi memahami bentuk masyarakat pada ketika karya itu dihasilkan.
 
Sastera klasik tidak muncul begitu saja meski setengahnya mengisahkan tentang dongeng-dongeng dan simpulan bahasa serta dinukil dengan bahasa dalam yang punya makna yang tersirat.
 
Nukilan-nukilan yang diluahkan melalui sastera klasik itu adalah berfungsi sebagai saluran pernyataan fikiran dan perasaan, bagi melepaskan diri daripada tekanan yang diharungi oleh pencipta-penciptanya.
 
Di zaman teknologi maklumat ini kita beranggapan bahawa sastera umumnya (sastera klasik dan sastera moden) tidak lagi menjadi hak monopoli para sasterawan tetapi juga dihayati bersama oleh ahli sosiologi, falsafah dan para antropologi.
 
Tegasnya karya-karya klasik dengan bentuknya yang tersendiri - baik melalui syair, pantun, seloka, gurindam dan mahupun cerita penglipur lara - adalah suatu mekanisme menyempurnakan kehendak-kehendak jiwa pencipta, sesuai dengan keadaan di zaman itu. Jadi, lambang-lambang yang digunakan adalah cermin penghidupan hati dan batin zaman bahari.
 
Sebenarnya kesusasteraan Melayu tradisional (klasik) telah wujud sejak manusia yang bernama bangsa Melayu mula memuaskan rasa ingin tahu tentang alam keliling mereka dengan pelbagai keterangan dan maklumat.
 
Keterangan-keterangan itu disesuaikan dengan tahap pemikiran masyarakat zaman itu dan keterangan-keterangan itu bertambah menjadi lebih mengkagumkan tatkala masyarakat itu semakin maju.
 
Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan perhubungan antara rasa ingin tahu dengan kemunculan dan perkembangan kesusasteraan Melayu klasik itu melainkan tepat diungkapkan dengan pepatah Inggeris: Necessity is the mother of invention.
 
Maklumat yang diuar-uarkan oleh orang tua-tua atau orang yang dihormati dalam masyarakat tradisional itu menarik dan cukup untuk memuaskan ingin tahu yang timbul secara alamiah pada seseorang.
 
"Oleh kerana masyarakat dikongkong oleh alam sekelilingnya, ceritacerita yang mengandungi pelbagai keterangan yang dinamai mitos oleh orang-orang yang terkemudian, berlegar di sekitar alam semula jadi."
 
Mitos-mitos itu menerangkan mengenai kejadian alam semesta, kewujudan bulan dan matahari yang dikaitkan dengan kejadian malam dan siang, dunia dengan gunung, bukit, sungai, laut dan seumpamanya, manusia yang mula-mula sekali menduduki bumi ini, binatang-binatang - terutama haiwan-haiwan besar, garang, yang ditakuti - tumbuhan-tumbuhan seperti pokok-pokok besar, pokok yang mempunyai bentuk yang mengerunkan, dan gejala alam seperti kilat, halilintar, hujan, ribut, banjir dan sebagainya yang mengingatkan manusia akan kekerdilannya.
 
Dalam karya-karya sastera klasik itu pengalaman-pengalaman peribadi juga turut dilisankan, di'ninabobok'kan atau dijadikan sumber ilham pengkarya. Percintaan dan kasih sayang. Cemburu dan iri hati. Hubungan kekerabatan atau kekeluargaan hingga kepada peperangan dan pertarungan.
 
Kejadian-kejadian yang tercetus daripada rasa benci, suka, duka dan sebagainya yang berkait perhubungan antara manusia dengan manusia dalam masyarakatnya sendiri dan antara masyarakat itu dengan masyarakat lain yang terpisah dengannya.
 
Ruang khayalan manusia Melayu yang alamiah dan terkongkong pada bumi yang dipijak meluas kepada dunia kayangan yang tinggi dan jauh daripada sifat-sifat keistimewaannya yang tersendiri misalnya, Diangdangan Bujang Sigandam. Mitos yang watak-wataknya boleh bertarung di angkasa, yang serba sakti dan memiliki kekuatan yang luar biasa.
 
Malah kita pernah diceritakan tentang keistimewaan luar biasa yang dimiliki oleh panglima dahulu kala yang bergelar Awang Semaun. Sekali dayung atau kayuh, perahunya boleh laju menerjah puluhan batu jauhnya dalam sekelip mata! Hah, sepantas kecepatan suara! Konon-kononnya!
 
Hasil sastera klasik yang menumpukan perhatian kepada dunia kayangan dan bunian serta dewa-dewi akhirnya disesuaikan dengan keterangan-keterangan yang berlandaskan akidah keislaman sebaik sahaja Islam masuk ke Nusantara.
 
Ketajaman akal, kekuatan daya imaginasi dan kehalusan perasaan dan budi mereka memungkinkan mereka menghasilkan karya-karya jenis sedemikian yang cukup ampuh dengan makna dan maksud yang mendalam.
 
Disampaikan melalui pelbagai kaedah metafora, misalnya melalui perumpamaan, kiasan dan tamsil ibarat. Diketengahkan melalui perlambangan dan watak-watak fiksyen yang generasi sekarang ini menganggap sebagai dongeng.
 
Hayatilah Kisah Pak Pandir atau Lebai Malang atau Mat Jenin atau Pak Kaduk Melayu. Siapa yang tidak mengetahui watak cerita Melayu lama, seperti: Pak Pandir, manusia bodoh dan tolol. Lebai Malang, manusia yang tamak dan akhirnya kehilangan segala harta yang ada padanya, termasuk pakaiannya.
 
Atau watak Mat Jenin, manusia yang suka berangan-angan tetapi akhirnya mati dalam angan-angan. Atau watak Pak Kaduk yang menang sorak, kampungnya tergadai.
 
Atau watak haiwan seperti: Sang Kancil, yang cerdik dan licik, yang selalu dapat mengalahkan binatang yang lebih besar dengan tipu muslihatnya. Ambil iktibar!
 
Aduhai, pengkaji cerita klasik Melayu ini menganggap kisah Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Mat Jenin dan Sang Kancil itu sebagai cerita jenaka. Kerana cerita itu menghibur hati orang yang mendengarnya. Benar jenaka, tapi jenaka pintar bijak.
 
Hubaya-hubaya di sebalik cerita hiburan itu kita nampak dan sedar ada tujuan atau mesej lain yang lebih serius yang cuba disampaikan oleh penciptanya.
 
Mungkin saja, ya, tukang cerita menggunakan watak-watak jenaka itu untuk menarik orang, yakni pendengarnya, untuk terus mendengar ceritanya. Mungkin juga secara sedar atau tidak disedari, dia berjaya pula menyampaikan atau meninggalkan mesej atau pengajaran yang kesannya jelas kekal dalam minda kolektif bangsa Melayu sepanjang zaman hingga ke hari ini.
 
Apakah pengajarannya?
 
Setiap karya dicipta - baik syair, puisi dan prosa, bukan setakat saja-saja dikarang. Ya, bukan sia-sia dicipta. Cetusan Minda diketengahkan bukan sekadar mengisi halaman akhbar. Kita mahu mengajak bangsa kita berfikir. Berfikir secara kritis tentang masa depan agama yang kita anut sejak turun temurun, agama Islam. Berfikir secara matang tentang masa depan bangsa kita, bangsa Melayu. Berfikir secara berwibawa tentang masa depan negara bangsa, Negara Brunei Darussalam. Cerita-cerita klasik berjerami makna!
 
Seperti kisah Lebai Malang ialah tentang nasib yang menimpa manusia yang tamak. Manusia yang menurut nafsunya lebih daripada akalnya. Lebai Malang menerima jemputan untuk menghadiri tiga majlis kenduri yang berlangsung serentak. Kerana serakahnya dia menerima ketiga-tiga undangan itu. Maka setentunya timbul masalah; manakah yang patut dihadirinya dahulu dan mana yang dikemudiankan. Fikiran tamaknya tidak menemukan kata putus walhal waktu tetap beringsut.
 
Akhirnya dia terlewat sampai di ketiga-tiga majlis kenduri itu. Aduhai dia degil, tidak belajar dan ambil iktibar daripada pengalaman buruknya. Ketika muleh ke rumah, bekal yang diberi kepadanya oleh orang daripada sebuah majlis kenduri itu dikebas anjing semasa dia memanjat pokok kelapa untuk mengambil kira. Nira itu tumpah ketika dia turun dari pokok bagi mengejar anjing yang membawa lari bekalnya itu.
 
Ketika mengejar itu, parangnya tercicir dan jatuh ke sungai. Dia terjun ke sungai tanpa mengambil kira arus deras dan air bersalut tanah. Lebai Malang muleh dalam keadaan yang daif, kotor dan lapar, tanpa apa-apa rezeki pun. Tamak buruk padahnya.
 
Cerita Pak Kaduk ialah: Kisah kaki sabung ayam yang ayamnya selalu menang. Kerana takut, dia menukarkan ayamnya dengan ayam raja dengan keyakinan bahawa ayam raja lebih handal dari ayamnya sendiri. Taruhannya ialah kampung halaman. Dalam perlagaan itu, ayamnya yang sudah jadi milik raja itu menang. Pak Kaduk bersorak gembira dengan menyangka ayamnya itu yang menang. Benar, ayamnya tapi milik orang lain. Pak Kaduk hilang kampung halaman. Lalu orang tua-tua pun berkata menang sorak kampung tergadai. Bebal dan bodoh pintar memakan diri sendiri. Penulis pun teringat rangkap-rangkap syair Rampaian Laila Syair seperti di bawah:
 
Anak ayam turun dua
mari menangkai pokok angsana
di atas panggau duduk kecewa
sampai di bawah hendak ke mana.

Hendak kemana kaki berjalan
loghat apa kata bualan
benda besar jangan ditelan
haruskan leher berkebangkalan.

Jangan dibiar leher menyakul
duduk di kerusi diam bertakul
kalau berjalan membawa bakul
sakit menanai berat dipikul.

 
Sehubungan ini bangsa yang percaya akan kekuatannya tidak perlu bersorak. Lebih baik kita bergerak tindak secara diam tapi berkesan. Hayati sungguh-sungguh bahawa teras kekuatan bangsa di bumi Darussalam ini ialah Melayu Islam Beraja (MIB). Kesedaran ini disimpul kukuh dalam hati kita semua. Kita tidak akan membiarkan diri dilemahkan oleh manamana cabaran. Ambil iktibar dari Lebai Malang. Mat Jenin tidak sampai kemana. Relakah generasi akan datang menuduh kita seperti Pak Kaduk?
 
Pada setiap tahap perkembangan, tidak dapat dinafikan negara bangsa berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran. Ianya dihadapi dan disesuaikan hingga setiap satu pembaharuan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan gentar. Dalam diri kita ada Islam, ada Melayu, ada kekukuhan Beraja.
 
Jika pelajaran, pengalaman dan keteguhan semangat yang bakal kita wariskan, bukan sekadar bahan khazanah maka generasi penerus hendaklah belajar serta mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang tidak baik, tidak terkecuali iktibar yang dapat diambil daripada karya sastera klasik.
Harta yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita, baik dalam bentuk fizikal mahupun kesusasteraan bangsa, adalah merupakan kreativiti fikiran bangsa Melayu yang penting. Warisan budaya, jika tersilap langkah, boleh dihapus atas nama pembangunan dan globalisasi. Walhal untuk menjadi bangsa yang mempunyai kelebihannya sendiri dalam bidang apa pun, kita perlu menjadi bangsa yang kreatif, berfikiran matang bagi mencipta pembaharuan berdasarkan budaya dan nilai sendiri, tidak dengan meniru nilai dan budaya orang lain. Teras nilai kita ialah penghayatan negara MIB.

Rujukan : Pelita Brunei
Category:

Bicara An-Nur : Bulan Membaca (Khutbah Jummat)

Kategori : jumaat (08-Jun-2007)
22hb Jamadilawal 1428H
BULAN MEMBACA

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

Islam meletakkan ilmu sebagai asas pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Oleh itu Islam amat menitikberatkan umatnya untuk menuntut ilmu kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam Surah Al 'Alaq ayat 1-5 tafsirnya :

"Wahai Muhammad bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".

Berdasarkan ayat tersebut menunjukkan bahawa membaca adalah asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Sejak peristiwa agung di Gua Hira itu, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mula memperkembangkan budaya membaca di kalangan umatnya. Di zaman permulaan Islam, Baginda membacakan Al-Qur'an kepada para sahabat dan mereka terus mempelajari, memahami dan menghafaznya. Begitu juga halnya yang mereka lakukan terhadap hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di awal perkembangan Islam di Madinah. Melalui Al-Qur'an dan hadis inilah mereka mempelajari aqidah, syariah dan akhlak di samping mempelajari hal-hal kenegaraan seperti Perundangan, pertahanan, kemasyarakatan, perekonomian dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tamadun membaca ini terus berkembang pesat lebih-lebih lagi di zaman Kerajaan Abasyiah yang berpusat di Baghdad, Iraq. Ketika itu pusat-pusat pengajian berkembang luas di kota-kota Baghdad dan beberapa kota lainnya. Mereka mengkaji khazanah peninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang berupa Al-Qur'an dan hadis. Mereka menganalisa ayat-ayat yang berkaitan dengan cakerawala, gunung-ganang, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hasil daripada perkembangan ini lahirlah cabang-cabang ilmu seperti Astronomi, geologi, geografi, fizik, kimia, biologi, zoologi, botani dan sebagainya. Mereka juga mengkaji, menterjemah dan membuat penambahbaikan ilmuan dari luar seperti Ilmu falsafah dari Yunani, ilmu falak dan hisab dari Hindi, Parsi dan sebagainya. Hasil dari budaya membaca ini telah menjadikan perbendaharaan ilmu Islam bertambah bernas dan kemas.

Dari sini lahirlah tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti Ibnu Sinna, Ibnu Rusydi, Al Faribi, Al Bironi, Al Khawarizmi dan ramai lagi. Kebanyakan mereka bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang tertentu, malah juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Contohnya seperti Ibnu Sinna yang terkenal sebagai pakar ilmu perubatan, dalam masa yang sama beliau juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Malah beliau adalah seorang hafaz Al-Qur'an. Begitu juga Al Bironi, beliau bukan sahaja seorang pakar astronomi bahkan juga berkemahiran dalam bidang fizik, geologi, sejarah dan juga bahasa. Begitulah juga dengan tokoh-tokoh yang lain. Itulah dia kecemerlangan peradaban tamadun ilmu iaitu kesan langsung dari budaya membaca tersebut.

Justeru itu, benarlah janji Allah bahawa orang yang berilmu itu tetap istimewa dan berbeza daripada orang yang tidak mempunyai ilmu, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mujaadilah ayat 11 tafsirnya :

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam sebuah hadis maksudnya :

"Dari Annas bin Malik ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Menuntut ilmu adalah satu kefarduan (wajib) ke atas setiap Muslim". (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat, sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya. Melalui ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain dan seterusnya akan terbentuklah satu budaya membaca di kalangan masyarakat.

Bagi mewujudkan budaya membaca dalam masyarakat, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk mencintai ilmu pengetahuan dan minat membaca, antaranya ialah dengan mengadakan kempen memberi kesedaran tentang faedah tabiat membaca secara lebih sistematik dan meluas termasuk mengadakannya di tempat awam seperti di pusat membeli-belah dan di tempat-tempat lain. Para pentadbir sekolah atau institusi pendidikan tinggi pula perlu mengadakan minggu membaca atau program yang boleh menggalakkan para pelajar untuk membudayakan tabiat membaca.

Sikap suka membaca perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Anak-anak kecil perlu dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau mendengar cerita yang dibacakan dari buku. Oleh itu, para ibu bapa berperanan sebagai 'role model' dengan memberikan contoh terbaik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa yang suka membaca adalah sebagai pendorong dan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka untuk suka membaca.

Muslimin yang diberkati Allah,

Melihat betapa pentingnya kesedaran membaca itu perlu dipupuk di kalangan masyarakat kita, khususnya kanak-kanak dan belia-belia, maka Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah agensi kerajaan yang berkait rapat dengan bidang pembacaan ini telah mengungkayahkan projek bulan membaca sepanjang bulan Jun 2007 ini.

Peluang inilah yang perlu diambil oleh ibu bapa, kanak-kanak dan belia-belia untuk membiasakan diri mereka berdamping dengan buku-buku dalam usaha memupuk supaya minat membaca. Walau bagaimanapun perlu juga diambil perhatian agar bahan-bahan bacaan itu hendaklah buku-buku yang berfaedah dan boleh menambah ilmu pengetahuan dan bukannya buku-buku yang boleh merosak minda dan menyesatkan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita kembali kepada seruan Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperteguhkan iman dan memperkukuhkan jati diri sebagai Muslim sejati. Satu-satunya cara untuk membina dan membentuk identiti ialah dengan memperbanyakkan ilmu. Orang yang kaya dengan ilmu akan mampu menangkis unsur-unsur yang negatif.

Oleh itu, marilah kita meneruskan dan mempertingkatkan budaya membaca dari semasa ke semasa. Perlu diingat, satu-satunya jalan untuk mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca dari sumber yang benar dan sahih. Mudah-mudahan dengan kekuatan ilmu pengetahuan, dapat mencipta kecemerlangan dan memartabatkan umat Islam ke mercu kejayaan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-Zumar ayat 9 tafsirnya :

"Katakanlah lagi kepadanya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Category: 0 comments