Sastera klasik, dicipta bukan sekadar saja-saja
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)
Sastera Lama yang juga dipanggil sastera klasik mampu mendedahkan suatu ruang untuk memahami corak kemasyarakatan sesuatu negara kerana sastera itu sendiri adalah catatan jiwa bangsa itu. Nah, di bawah adalah rangkap syair Rampaian Laila Syair karangan Muda Omar 'Ali Saifuddien, Sultan Brunei ke-28:
Mata pelajaran pelita hati
indah budi laila terbukti
meninggalkan jasa pelita mati
laila setia amalan bakti.
Pelita mati jasa kenangan
pelita hati pelajaran kebilangan
laila terbukti budi julangan
setia bakti laila kesayangan.
Laila gasing pening-peningan
tarah kayu bakal-bakal
mata berjasa jadi kenangan
mata pelajaran menambahkan akal.
Dengan makna lain sastera klasik mematulkan aspek-aspek ilmu kemasyarakatan dan sejarah. Sastera klasik saling bantu-membantu dan bukan suatu yang terpisah. Antara satu sama lain, saling kait-mengait, bagi memahami bentuk masyarakat pada ketika karya itu dihasilkan.
Sastera klasik tidak muncul begitu saja meski setengahnya mengisahkan tentang dongeng-dongeng dan simpulan bahasa serta dinukil dengan bahasa dalam yang punya makna yang tersirat.
Nukilan-nukilan yang diluahkan melalui sastera klasik itu adalah berfungsi sebagai saluran pernyataan fikiran dan perasaan, bagi melepaskan diri daripada tekanan yang diharungi oleh pencipta-penciptanya.
Di zaman teknologi maklumat ini kita beranggapan bahawa sastera umumnya (sastera klasik dan sastera moden) tidak lagi menjadi hak monopoli para sasterawan tetapi juga dihayati bersama oleh ahli sosiologi, falsafah dan para antropologi.
Tegasnya karya-karya klasik dengan bentuknya yang tersendiri - baik melalui syair, pantun, seloka, gurindam dan mahupun cerita penglipur lara - adalah suatu mekanisme menyempurnakan kehendak-kehendak jiwa pencipta, sesuai dengan keadaan di zaman itu. Jadi, lambang-lambang yang digunakan adalah cermin penghidupan hati dan batin zaman bahari.
Sebenarnya kesusasteraan Melayu tradisional (klasik) telah wujud sejak manusia yang bernama bangsa Melayu mula memuaskan rasa ingin tahu tentang alam keliling mereka dengan pelbagai keterangan dan maklumat.
Keterangan-keterangan itu disesuaikan dengan tahap pemikiran masyarakat zaman itu dan keterangan-keterangan itu bertambah menjadi lebih mengkagumkan tatkala masyarakat itu semakin maju.
Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan perhubungan antara rasa ingin tahu dengan kemunculan dan perkembangan kesusasteraan Melayu klasik itu melainkan tepat diungkapkan dengan pepatah Inggeris: Necessity is the mother of invention.
Maklumat yang diuar-uarkan oleh orang tua-tua atau orang yang dihormati dalam masyarakat tradisional itu menarik dan cukup untuk memuaskan ingin tahu yang timbul secara alamiah pada seseorang.
"Oleh kerana masyarakat dikongkong oleh alam sekelilingnya, ceritacerita yang mengandungi pelbagai keterangan yang dinamai mitos oleh orang-orang yang terkemudian, berlegar di sekitar alam semula jadi."
Mitos-mitos itu menerangkan mengenai kejadian alam semesta, kewujudan bulan dan matahari yang dikaitkan dengan kejadian malam dan siang, dunia dengan gunung, bukit, sungai, laut dan seumpamanya, manusia yang mula-mula sekali menduduki bumi ini, binatang-binatang - terutama haiwan-haiwan besar, garang, yang ditakuti - tumbuhan-tumbuhan seperti pokok-pokok besar, pokok yang mempunyai bentuk yang mengerunkan, dan gejala alam seperti kilat, halilintar, hujan, ribut, banjir dan sebagainya yang mengingatkan manusia akan kekerdilannya.
Dalam karya-karya sastera klasik itu pengalaman-pengalaman peribadi juga turut dilisankan, di'ninabobok'kan atau dijadikan sumber ilham pengkarya. Percintaan dan kasih sayang. Cemburu dan iri hati. Hubungan kekerabatan atau kekeluargaan hingga kepada peperangan dan pertarungan.
Kejadian-kejadian yang tercetus daripada rasa benci, suka, duka dan sebagainya yang berkait perhubungan antara manusia dengan manusia dalam masyarakatnya sendiri dan antara masyarakat itu dengan masyarakat lain yang terpisah dengannya.
Ruang khayalan manusia Melayu yang alamiah dan terkongkong pada bumi yang dipijak meluas kepada dunia kayangan yang tinggi dan jauh daripada sifat-sifat keistimewaannya yang tersendiri misalnya, Diangdangan Bujang Sigandam. Mitos yang watak-wataknya boleh bertarung di angkasa, yang serba sakti dan memiliki kekuatan yang luar biasa.
Malah kita pernah diceritakan tentang keistimewaan luar biasa yang dimiliki oleh panglima dahulu kala yang bergelar Awang Semaun. Sekali dayung atau kayuh, perahunya boleh laju menerjah puluhan batu jauhnya dalam sekelip mata! Hah, sepantas kecepatan suara! Konon-kononnya!
Hasil sastera klasik yang menumpukan perhatian kepada dunia kayangan dan bunian serta dewa-dewi akhirnya disesuaikan dengan keterangan-keterangan yang berlandaskan akidah keislaman sebaik sahaja Islam masuk ke Nusantara.
Ketajaman akal, kekuatan daya imaginasi dan kehalusan perasaan dan budi mereka memungkinkan mereka menghasilkan karya-karya jenis sedemikian yang cukup ampuh dengan makna dan maksud yang mendalam.
Disampaikan melalui pelbagai kaedah metafora, misalnya melalui perumpamaan, kiasan dan tamsil ibarat. Diketengahkan melalui perlambangan dan watak-watak fiksyen yang generasi sekarang ini menganggap sebagai dongeng.
Hayatilah Kisah Pak Pandir atau Lebai Malang atau Mat Jenin atau Pak Kaduk Melayu. Siapa yang tidak mengetahui watak cerita Melayu lama, seperti: Pak Pandir, manusia bodoh dan tolol. Lebai Malang, manusia yang tamak dan akhirnya kehilangan segala harta yang ada padanya, termasuk pakaiannya.
Atau watak Mat Jenin, manusia yang suka berangan-angan tetapi akhirnya mati dalam angan-angan. Atau watak Pak Kaduk yang menang sorak, kampungnya tergadai.
Atau watak haiwan seperti: Sang Kancil, yang cerdik dan licik, yang selalu dapat mengalahkan binatang yang lebih besar dengan tipu muslihatnya. Ambil iktibar!
Aduhai, pengkaji cerita klasik Melayu ini menganggap kisah Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Mat Jenin dan Sang Kancil itu sebagai cerita jenaka. Kerana cerita itu menghibur hati orang yang mendengarnya. Benar jenaka, tapi jenaka pintar bijak.
Hubaya-hubaya di sebalik cerita hiburan itu kita nampak dan sedar ada tujuan atau mesej lain yang lebih serius yang cuba disampaikan oleh penciptanya.
Mungkin saja, ya, tukang cerita menggunakan watak-watak jenaka itu untuk menarik orang, yakni pendengarnya, untuk terus mendengar ceritanya. Mungkin juga secara sedar atau tidak disedari, dia berjaya pula menyampaikan atau meninggalkan mesej atau pengajaran yang kesannya jelas kekal dalam minda kolektif bangsa Melayu sepanjang zaman hingga ke hari ini.
Apakah pengajarannya?
Setiap karya dicipta - baik syair, puisi dan prosa, bukan setakat saja-saja dikarang. Ya, bukan sia-sia dicipta. Cetusan Minda diketengahkan bukan sekadar mengisi halaman akhbar. Kita mahu mengajak bangsa kita berfikir. Berfikir secara kritis tentang masa depan agama yang kita anut sejak turun temurun, agama Islam. Berfikir secara matang tentang masa depan bangsa kita, bangsa Melayu. Berfikir secara berwibawa tentang masa depan negara bangsa, Negara Brunei Darussalam. Cerita-cerita klasik berjerami makna!
Seperti kisah Lebai Malang ialah tentang nasib yang menimpa manusia yang tamak. Manusia yang menurut nafsunya lebih daripada akalnya. Lebai Malang menerima jemputan untuk menghadiri tiga majlis kenduri yang berlangsung serentak. Kerana serakahnya dia menerima ketiga-tiga undangan itu. Maka setentunya timbul masalah; manakah yang patut dihadirinya dahulu dan mana yang dikemudiankan. Fikiran tamaknya tidak menemukan kata putus walhal waktu tetap beringsut.
Akhirnya dia terlewat sampai di ketiga-tiga majlis kenduri itu. Aduhai dia degil, tidak belajar dan ambil iktibar daripada pengalaman buruknya. Ketika muleh ke rumah, bekal yang diberi kepadanya oleh orang daripada sebuah majlis kenduri itu dikebas anjing semasa dia memanjat pokok kelapa untuk mengambil kira. Nira itu tumpah ketika dia turun dari pokok bagi mengejar anjing yang membawa lari bekalnya itu.
Ketika mengejar itu, parangnya tercicir dan jatuh ke sungai. Dia terjun ke sungai tanpa mengambil kira arus deras dan air bersalut tanah. Lebai Malang muleh dalam keadaan yang daif, kotor dan lapar, tanpa apa-apa rezeki pun. Tamak buruk padahnya.
Cerita Pak Kaduk ialah: Kisah kaki sabung ayam yang ayamnya selalu menang. Kerana takut, dia menukarkan ayamnya dengan ayam raja dengan keyakinan bahawa ayam raja lebih handal dari ayamnya sendiri. Taruhannya ialah kampung halaman. Dalam perlagaan itu, ayamnya yang sudah jadi milik raja itu menang. Pak Kaduk bersorak gembira dengan menyangka ayamnya itu yang menang. Benar, ayamnya tapi milik orang lain. Pak Kaduk hilang kampung halaman. Lalu orang tua-tua pun berkata menang sorak kampung tergadai. Bebal dan bodoh pintar memakan diri sendiri. Penulis pun teringat rangkap-rangkap syair Rampaian Laila Syair seperti di bawah:
Anak ayam turun dua
mari menangkai pokok angsana
di atas panggau duduk kecewa
sampai di bawah hendak ke mana.
Hendak kemana kaki berjalan
loghat apa kata bualan
benda besar jangan ditelan
haruskan leher berkebangkalan.
Jangan dibiar leher menyakul
duduk di kerusi diam bertakul
kalau berjalan membawa bakul
sakit menanai berat dipikul.
Sehubungan ini bangsa yang percaya akan kekuatannya tidak perlu bersorak. Lebih baik kita bergerak tindak secara diam tapi berkesan. Hayati sungguh-sungguh bahawa teras kekuatan bangsa di bumi Darussalam ini ialah Melayu Islam Beraja (MIB). Kesedaran ini disimpul kukuh dalam hati kita semua. Kita tidak akan membiarkan diri dilemahkan oleh manamana cabaran. Ambil iktibar dari Lebai Malang. Mat Jenin tidak sampai kemana. Relakah generasi akan datang menuduh kita seperti Pak Kaduk?
Pada setiap tahap perkembangan, tidak dapat dinafikan negara bangsa berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran. Ianya dihadapi dan disesuaikan hingga setiap satu pembaharuan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan gentar. Dalam diri kita ada Islam, ada Melayu, ada kekukuhan Beraja.
Jika pelajaran, pengalaman dan keteguhan semangat yang bakal kita wariskan, bukan sekadar bahan khazanah maka generasi penerus hendaklah belajar serta mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang tidak baik, tidak terkecuali iktibar yang dapat diambil daripada karya sastera klasik.
Harta yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita, baik dalam bentuk fizikal mahupun kesusasteraan bangsa, adalah merupakan kreativiti fikiran bangsa Melayu yang penting. Warisan budaya, jika tersilap langkah, boleh dihapus atas nama pembangunan dan globalisasi. Walhal untuk menjadi bangsa yang mempunyai kelebihannya sendiri dalam bidang apa pun, kita perlu menjadi bangsa yang kreatif, berfikiran matang bagi mencipta pembaharuan berdasarkan budaya dan nilai sendiri, tidak dengan meniru nilai dan budaya orang lain. Teras nilai kita ialah penghayatan negara MIB.
Rujukan : Pelita Brunei