Bicara Seni : Vokalisasi Puisi : Kalam Bersulam Salam

VOKALISASI PUISI: KALAM BERSULAM SALAM
 


Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)



BAHASA dalam kesusasteraan seperti juga bidang-bidang lain adalah media perhubungan sesama anggota masyarakat dalam kegiatan kebudayaan. Budayawan dan para pujangga banyak berpendapat bahawa kesusasteraan adalah pengucapan atau tulisan yang tergolong dalam jenis kreatif-imaginatif dan sangat berlainan dari tulisan-tulisan yang bermaklumat dan pesuasif.

Karya sastera tidak juga sama dengan buku ilmu pengetahuan. Pun tulisan sastera bukan juga iklan. Kesudahan dari tulisan kreatif ‘tidak dapat diukur’ sebagaimana orang dapat mengukur pada tulisan berbentuk iklan. Unsur-unsur bahasa dan bentuk yang pelbagai, baik seragam atau penuh konflik, atau pun hubungan dan gabungan di antara sesama unsur-unsur tersebut dengan dunia realiti di luar karya itu adalah merupakan keunikan dan keberhasilan sebuah karya kreatif.

Bron, Wenworth dan Sterling Olmstedt dan buku mereka, Language and Literature, Brace Press, New York, berpendapat bahawa makna dari karya sastera itu baru timbul setelah kita tanggapi ia dalam segala seginya. Kesatuan karya pula terletak pada komponen-komponen penting bentuknya. Dalam fiksi dan drana, komponen-komponen penting ini adalah faktor-faktor seperti tindakan, konflik, kumpulan watak dan sudut pandangan penceritaan (point of view). Dalam puisi, lirik pula unsur-unsur yang penting, adalah metafora, pekembangan imej, pola-pola bunyi dan simbol.

Mereka berpendapat lagi bahawa unsur-unsur penting ini tidak berdiri sendiri tetapi saling sandar menyandar yang orginis. Bahaya yang dipakai dalam kesusasteraan bukan sekadar berfungsi sebagai alat perhubungan malah memperluas erti perhubungan itu. Dengan kata lain, bahasa dalam kesusasteraan bukan setakat mengungkapkan apa yang tersurat malah apa yang tersirat.

Mari kita hayati beberapa rangkap dari 'Syair Nasihat' cetusan minda Tokoh Sasterawan Islam Brunei iaitu Muda Omar ‘Ali Safuddien, nama pena bagi Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien:

Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh
Disertai dengan hati yang patuh
Ibarat tanaman pastilah tumbuh
Dapatlah nikmat buah diluruh.
Inilah keadaan orang beriman
Pegangan teguh lagi budiman
Segala perbuatannya amat siuman
Menurut hadis beserta firman.

Dalam memperkatakan ciptaan seni bukan setakat memerhati strukturnya tapi yang penting ialah harus merujuk kepada manusianya, yakni penciptanya. Jelas bahawa seni sastera adalah pengucapan yang menggunakan lambang-lambang. Seorang pencerita memilih bukan sahaja kata-kata dan gaya malah memberi isi pada cerita, dalam fiksi bahasa digunakan untuk mencipta. Terserlah kebijaksanaan pemikiran dalam syair-syair yang dicipta itu.

Dalam hal ini saya teringat kepada pesanan penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2008 iaitu Yahya M.S., nama pena bagi Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, semasa Pertemuan Sasterawan Brunei Ke-2 tahun 2003 yang berkata bahawa para sasterawan perlu menggunakan kebijaksanaan fikiran dengan bahasa yang tersusun rapi, indah dan menarik, mempengaruhi dunia pembaca dan menimbulkan responds dan malah mungkin bangun bertindak menyahut ‘perutusan’ mereka. Inilah yang menjadi cita setiap orang yang menjadi sasterawan. Dengan kata lain sasterawan dengan karyanya membangkit rasa dan emosi para pembaca.

Bercakap tentang kegiatan seni sastera ini maka saya pun terpanggil untuk mengajak para pembaca menyorot tentang keindahan dan kesyahduan segmen persembahan memantun seni (istilah yang digunapakai oleh Zefri Ariff Brunei) yang diberi nama 'Vokalisasi Puisi: Kalam Bersulam Salam.'

Persembahan jangka masa hampir satu jam ini dipersembahkan dalam Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Brunei pada awal November lepas.

Persembahan memantun seni ini dihidangkan di depan khalayak yang turut menjadi halwa telinga dan deria mata golongan elit, penggubal-penggubal dasar negara, penulis-penulis kreatif (termasuk penerima-penerima S.E.A. Write Award dan Anugerah Sastera MASTERA) dan non-kreatif, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, di samping orang-orang berpendidikan tinggi dari segenap aliran pembelajaran termasuklah akitek binaan, akauntan dan doktor gigi serta lain-lain.

Persembahan memantun seni ini adalah gabungan empat konsep seni iaitu lakon atau teater, menambang syair, deklamasi sajak dan musik. Apa yang uniknya, konsep dan idea dalam persembahan ini melahirkan suatu gaya bitara dalam penyampaian terutama menambang syair. Menambang syair, bagi kita bangsa Brunei, adalah merupakan warisan budaya yang tetap utuh dalam segala zaman.

Otak pelaku atau 'mastermind' persembahan ini adalah Zefri Ariff bin Zain Arif (nama penanya ialah Zefri Ariff Brunei) dengan mengetengahkan serta dibantu sepenuhnya oleh ahli Kelab Rakis, Universiti Brunei Darussalam dan Kumpulan Putra Seni, Brunei Darussalam.

Lakonan bersahaja bakat semulajadi yang dipertontonkan oleh Pengiran Haji Md. Don bin Pengiran Haji Besar (imbauan saya langsung ke drama 'Badik' popular tahun akhir 70-an di RTB) dan Shafie Mosdar cukup menghidupkan suasana. Kita turut ceria dan kekadang ketawa selamba kerana tersirat makna. Tahniah!

Dialog-dialog mudah dan segar-bugar (ever-green) tapi sarat dengan elemen-elemen pembelajaran, kesedaran dan sejarah, mungkin ketika itu, berjaya menyuntik semangat jati diri di kalangan para penonton. Mudah-mudahan suntikan ini berlanjutan! Zefri Ariff bijak mencipta dialog, sinis dalam nada kelucuan. Syabas!

Gemersik dan liuk lintuknya alunan menambang syair yang berpuput lembut oleh dua orang ‘tunas remaja’ mampu mengudara nostalgia. Kedua-dua penambang syair itu begitu santai namun cukup memukau. Sungguh-sungguh menambang syair, bukan membaca syair. Rangkap-rangkap syair mendayu syahdu dan dikonotasikan sebegitu telus dan lurus menambah lagi daya tarikan.

Kita angkat topi, hormat pada generasi penerus. Menambang syair bukan untuk orang tua-tua sahaja, bukan. Ayo para remaja, jom kita sama-sama menambang syair! Membaca syair dan menambang syair adalah dua entiti yang sungguh berbeza. Syair ciptaan Muda Omar ‘Ali Saifuddien:

Ilmu sentiasa mengikut diri
Ilmu di badan tiada lari
Hendaklah bersungguh dipelajari
Ilmu pengetahuan membawa seri.
Cintakan ilmu pergi belajar
Selepas tamat kemudian mengajar
Daripada menyingsing fajar
Laila ilmu elok dikejar.

Sebahagian penonton tanpa sedar menitiskan air mata (termasuk saya sendiri) jika sungguh-sungguh dihayati. Mendengar orang menambang syair bagi mereka yang tinggal dan menetap lama di Kampong Ayer mudah mencetus gamitan segenap pancaindera. Ini pengalaman! Tambang syair dilatari dengan bantingan lembut gambus yang cuma rendah kedengaran berpunca dari sistem pembesar suara. Salah siapa? Pengeseknya, Awang Haji Md. Yassin bin Haji Hassan membanting penuh gariat (ghairah) dan penghayatan.

Menambang syair yang juga diselang-selikan dengan deklamasi puisi ciptaan Zefri Ariff turut membahana rasa. Syabas kepada para pendeklamator puisi. Cuma nada tinggi dan terlalu nyaring tajam serta lantang pendeklamator dewi menjejaskan keramahan serasi umum watak wanita Brunei yang amat lembut dan jinak-jinak merpati!

Segmen 'Vokalisasi Puisi: Kalam Bersulam Salam' mengajak kita untuk berfikir tentang keperluan pendewasaan seni sastera tempatan, termasuk memantun seni, dalam mengisi tuntutan kemerdekaan dan psikologi masyarakat kita. Lagi pun bangsa yang tidak mempunyai peribadi atau tidak menginsafi nilai-nilai kewujudan budaya bangsanya sendiri tidak boleh menjadi bangsa yang besar lagi digalati. Walhal, kita mahu jadi bangsa yang dihormati dan bangga dengan tamadun sendiri.

Penulis kreatif tetap mempunyai tempat dan tanggungjawabnya dalam pembentukan dan survival suatu negara bangsa yang dianggotainya. Dan kesanggupan seseorang dalam bidang kemahirannya sendiri ke arah memupuk satu pendekatan gaya bitara memantun seni mampu menjadi kebanggaan akar sejarah bangsa. Siapa yang berani tolak kemampuan warga-warga berjasa kita dalam bidang seni sastera? Hanya mereka yang buta budaya, buta sastera, buta jati diri bangsa sendiri yang mahu meminggirkan! Memang benar, seperti madah puisi Zefri Ariff:

Masa ini bukan hanya sekadar-kadar
kerana yang tiada pasti
kerana yang tiada ganti
kerana yang tiada budi
akan hilang hanyut disisa arus
kecuali mereka yang tetap pada paksi hak
kerana kalam terus bersulam madah
tiadalah walang ketika nama dijulang
Al-Marhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien
dinobat sebagai 'Tokoh Sasterawan Islam'
Brunei Darussalam.
Bicara terkelu kerana kisah dagang
terhampar di depan mata ketika
pada kalimat-kalimat itu mula terbentang
tiada siapa teruji dengan kenyataan
benarlah seorang dagang bernama
Al-Mahrum Pengiran Shahbandar nama gelaran
'Pelopor Kesusasteraan Moden Brunei.'

Persoalannya, apakah tidak mungkin persembahan serupa ini diangkat sebagai satu segmen dalam acara-acara yang bersifat nasional! Persembahan memantun seni tidak setakat dihidangkan dalam acara atau majlis yang bersifat kesusasteraan. Persembahan serupa ini, setentunya rangkap-rangkap syair sasterawan diraja dijadikan fokus, boleh dijadikan sebagai satu segmen acara utama dalam perayaan-perayaan yang bersifat kebangsaan seperti menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Masih belum lewat kiranya persembahan memantun seni yang dipersembahkan pada 5 November 2008 lepas akan dapat dihidangkan untuk tontonan khalayak terutama sempena Sambutan Jubli Parak (25 Tahun) Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam! Menunggu dan penangguhan untuk tahun-tahun depan bukan keputusan bijak. Para budiman berkata peluang tidak datang berulang kali. Ayo, bertindaklah.

Cetusan minda kali ini ditutup dengan madah Omar ‘Ali Saifudien dalam 'Syair Laila Cinta.'

Luruskan kata lailakan hati
Laksanakan kebajikan laila seperti
Menghubungkan kebaikan adalah pasti
Mekar bersuli cempaka di hati.
Padahnya untung bercakap benar
Akhirnya terang lagi bersinar
Berlagak tiada membuat onar
Laila jamput (ambil) laila binar (amati).


Rujukan : Pelita Brunei
Category:

Bicara Seni : Sastera Klasik Dicipta Bukan Sekar Saja-saja

Sastera klasik, dicipta bukan sekadar saja-saja


Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


ELOK kita bertanya: Apa manfaatnya membaca, menghayati dan mengkaji Sastera Klasik, seperti: Syair, gurindam, seloka, pantun dan seumpamanya? Sebenarnya dari karya-karya lama seperti: Syair, kita secara langsung dapat memahami tentang sesuatu falsafah yang diamalkan oleh suatu bangsa di zaman itu.

Sastera Lama yang juga dipanggil sastera klasik mampu mendedahkan suatu ruang untuk memahami corak kemasyarakatan sesuatu negara kerana sastera itu sendiri adalah catatan jiwa bangsa itu. Nah, di bawah adalah rangkap syair Rampaian Laila Syair karangan Muda Omar 'Ali Saifuddien, Sultan Brunei ke-28:
 
Mata pelajaran pelita hati
indah budi laila terbukti
meninggalkan jasa pelita mati
laila setia amalan bakti.

Pelita mati jasa kenangan
pelita hati pelajaran kebilangan
laila terbukti budi julangan
setia bakti laila kesayangan.

Laila gasing pening-peningan
tarah kayu bakal-bakal
mata berjasa jadi kenangan
mata pelajaran menambahkan akal.

 
Dengan makna lain sastera klasik mematulkan aspek-aspek ilmu kemasyarakatan dan sejarah. Sastera klasik saling bantu-membantu dan bukan suatu yang terpisah. Antara satu sama lain, saling kait-mengait, bagi memahami bentuk masyarakat pada ketika karya itu dihasilkan.
 
Sastera klasik tidak muncul begitu saja meski setengahnya mengisahkan tentang dongeng-dongeng dan simpulan bahasa serta dinukil dengan bahasa dalam yang punya makna yang tersirat.
 
Nukilan-nukilan yang diluahkan melalui sastera klasik itu adalah berfungsi sebagai saluran pernyataan fikiran dan perasaan, bagi melepaskan diri daripada tekanan yang diharungi oleh pencipta-penciptanya.
 
Di zaman teknologi maklumat ini kita beranggapan bahawa sastera umumnya (sastera klasik dan sastera moden) tidak lagi menjadi hak monopoli para sasterawan tetapi juga dihayati bersama oleh ahli sosiologi, falsafah dan para antropologi.
 
Tegasnya karya-karya klasik dengan bentuknya yang tersendiri - baik melalui syair, pantun, seloka, gurindam dan mahupun cerita penglipur lara - adalah suatu mekanisme menyempurnakan kehendak-kehendak jiwa pencipta, sesuai dengan keadaan di zaman itu. Jadi, lambang-lambang yang digunakan adalah cermin penghidupan hati dan batin zaman bahari.
 
Sebenarnya kesusasteraan Melayu tradisional (klasik) telah wujud sejak manusia yang bernama bangsa Melayu mula memuaskan rasa ingin tahu tentang alam keliling mereka dengan pelbagai keterangan dan maklumat.
 
Keterangan-keterangan itu disesuaikan dengan tahap pemikiran masyarakat zaman itu dan keterangan-keterangan itu bertambah menjadi lebih mengkagumkan tatkala masyarakat itu semakin maju.
 
Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan perhubungan antara rasa ingin tahu dengan kemunculan dan perkembangan kesusasteraan Melayu klasik itu melainkan tepat diungkapkan dengan pepatah Inggeris: Necessity is the mother of invention.
 
Maklumat yang diuar-uarkan oleh orang tua-tua atau orang yang dihormati dalam masyarakat tradisional itu menarik dan cukup untuk memuaskan ingin tahu yang timbul secara alamiah pada seseorang.
 
"Oleh kerana masyarakat dikongkong oleh alam sekelilingnya, ceritacerita yang mengandungi pelbagai keterangan yang dinamai mitos oleh orang-orang yang terkemudian, berlegar di sekitar alam semula jadi."
 
Mitos-mitos itu menerangkan mengenai kejadian alam semesta, kewujudan bulan dan matahari yang dikaitkan dengan kejadian malam dan siang, dunia dengan gunung, bukit, sungai, laut dan seumpamanya, manusia yang mula-mula sekali menduduki bumi ini, binatang-binatang - terutama haiwan-haiwan besar, garang, yang ditakuti - tumbuhan-tumbuhan seperti pokok-pokok besar, pokok yang mempunyai bentuk yang mengerunkan, dan gejala alam seperti kilat, halilintar, hujan, ribut, banjir dan sebagainya yang mengingatkan manusia akan kekerdilannya.
 
Dalam karya-karya sastera klasik itu pengalaman-pengalaman peribadi juga turut dilisankan, di'ninabobok'kan atau dijadikan sumber ilham pengkarya. Percintaan dan kasih sayang. Cemburu dan iri hati. Hubungan kekerabatan atau kekeluargaan hingga kepada peperangan dan pertarungan.
 
Kejadian-kejadian yang tercetus daripada rasa benci, suka, duka dan sebagainya yang berkait perhubungan antara manusia dengan manusia dalam masyarakatnya sendiri dan antara masyarakat itu dengan masyarakat lain yang terpisah dengannya.
 
Ruang khayalan manusia Melayu yang alamiah dan terkongkong pada bumi yang dipijak meluas kepada dunia kayangan yang tinggi dan jauh daripada sifat-sifat keistimewaannya yang tersendiri misalnya, Diangdangan Bujang Sigandam. Mitos yang watak-wataknya boleh bertarung di angkasa, yang serba sakti dan memiliki kekuatan yang luar biasa.
 
Malah kita pernah diceritakan tentang keistimewaan luar biasa yang dimiliki oleh panglima dahulu kala yang bergelar Awang Semaun. Sekali dayung atau kayuh, perahunya boleh laju menerjah puluhan batu jauhnya dalam sekelip mata! Hah, sepantas kecepatan suara! Konon-kononnya!
 
Hasil sastera klasik yang menumpukan perhatian kepada dunia kayangan dan bunian serta dewa-dewi akhirnya disesuaikan dengan keterangan-keterangan yang berlandaskan akidah keislaman sebaik sahaja Islam masuk ke Nusantara.
 
Ketajaman akal, kekuatan daya imaginasi dan kehalusan perasaan dan budi mereka memungkinkan mereka menghasilkan karya-karya jenis sedemikian yang cukup ampuh dengan makna dan maksud yang mendalam.
 
Disampaikan melalui pelbagai kaedah metafora, misalnya melalui perumpamaan, kiasan dan tamsil ibarat. Diketengahkan melalui perlambangan dan watak-watak fiksyen yang generasi sekarang ini menganggap sebagai dongeng.
 
Hayatilah Kisah Pak Pandir atau Lebai Malang atau Mat Jenin atau Pak Kaduk Melayu. Siapa yang tidak mengetahui watak cerita Melayu lama, seperti: Pak Pandir, manusia bodoh dan tolol. Lebai Malang, manusia yang tamak dan akhirnya kehilangan segala harta yang ada padanya, termasuk pakaiannya.
 
Atau watak Mat Jenin, manusia yang suka berangan-angan tetapi akhirnya mati dalam angan-angan. Atau watak Pak Kaduk yang menang sorak, kampungnya tergadai.
 
Atau watak haiwan seperti: Sang Kancil, yang cerdik dan licik, yang selalu dapat mengalahkan binatang yang lebih besar dengan tipu muslihatnya. Ambil iktibar!
 
Aduhai, pengkaji cerita klasik Melayu ini menganggap kisah Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Mat Jenin dan Sang Kancil itu sebagai cerita jenaka. Kerana cerita itu menghibur hati orang yang mendengarnya. Benar jenaka, tapi jenaka pintar bijak.
 
Hubaya-hubaya di sebalik cerita hiburan itu kita nampak dan sedar ada tujuan atau mesej lain yang lebih serius yang cuba disampaikan oleh penciptanya.
 
Mungkin saja, ya, tukang cerita menggunakan watak-watak jenaka itu untuk menarik orang, yakni pendengarnya, untuk terus mendengar ceritanya. Mungkin juga secara sedar atau tidak disedari, dia berjaya pula menyampaikan atau meninggalkan mesej atau pengajaran yang kesannya jelas kekal dalam minda kolektif bangsa Melayu sepanjang zaman hingga ke hari ini.
 
Apakah pengajarannya?
 
Setiap karya dicipta - baik syair, puisi dan prosa, bukan setakat saja-saja dikarang. Ya, bukan sia-sia dicipta. Cetusan Minda diketengahkan bukan sekadar mengisi halaman akhbar. Kita mahu mengajak bangsa kita berfikir. Berfikir secara kritis tentang masa depan agama yang kita anut sejak turun temurun, agama Islam. Berfikir secara matang tentang masa depan bangsa kita, bangsa Melayu. Berfikir secara berwibawa tentang masa depan negara bangsa, Negara Brunei Darussalam. Cerita-cerita klasik berjerami makna!
 
Seperti kisah Lebai Malang ialah tentang nasib yang menimpa manusia yang tamak. Manusia yang menurut nafsunya lebih daripada akalnya. Lebai Malang menerima jemputan untuk menghadiri tiga majlis kenduri yang berlangsung serentak. Kerana serakahnya dia menerima ketiga-tiga undangan itu. Maka setentunya timbul masalah; manakah yang patut dihadirinya dahulu dan mana yang dikemudiankan. Fikiran tamaknya tidak menemukan kata putus walhal waktu tetap beringsut.
 
Akhirnya dia terlewat sampai di ketiga-tiga majlis kenduri itu. Aduhai dia degil, tidak belajar dan ambil iktibar daripada pengalaman buruknya. Ketika muleh ke rumah, bekal yang diberi kepadanya oleh orang daripada sebuah majlis kenduri itu dikebas anjing semasa dia memanjat pokok kelapa untuk mengambil kira. Nira itu tumpah ketika dia turun dari pokok bagi mengejar anjing yang membawa lari bekalnya itu.
 
Ketika mengejar itu, parangnya tercicir dan jatuh ke sungai. Dia terjun ke sungai tanpa mengambil kira arus deras dan air bersalut tanah. Lebai Malang muleh dalam keadaan yang daif, kotor dan lapar, tanpa apa-apa rezeki pun. Tamak buruk padahnya.
 
Cerita Pak Kaduk ialah: Kisah kaki sabung ayam yang ayamnya selalu menang. Kerana takut, dia menukarkan ayamnya dengan ayam raja dengan keyakinan bahawa ayam raja lebih handal dari ayamnya sendiri. Taruhannya ialah kampung halaman. Dalam perlagaan itu, ayamnya yang sudah jadi milik raja itu menang. Pak Kaduk bersorak gembira dengan menyangka ayamnya itu yang menang. Benar, ayamnya tapi milik orang lain. Pak Kaduk hilang kampung halaman. Lalu orang tua-tua pun berkata menang sorak kampung tergadai. Bebal dan bodoh pintar memakan diri sendiri. Penulis pun teringat rangkap-rangkap syair Rampaian Laila Syair seperti di bawah:
 
Anak ayam turun dua
mari menangkai pokok angsana
di atas panggau duduk kecewa
sampai di bawah hendak ke mana.

Hendak kemana kaki berjalan
loghat apa kata bualan
benda besar jangan ditelan
haruskan leher berkebangkalan.

Jangan dibiar leher menyakul
duduk di kerusi diam bertakul
kalau berjalan membawa bakul
sakit menanai berat dipikul.

 
Sehubungan ini bangsa yang percaya akan kekuatannya tidak perlu bersorak. Lebih baik kita bergerak tindak secara diam tapi berkesan. Hayati sungguh-sungguh bahawa teras kekuatan bangsa di bumi Darussalam ini ialah Melayu Islam Beraja (MIB). Kesedaran ini disimpul kukuh dalam hati kita semua. Kita tidak akan membiarkan diri dilemahkan oleh manamana cabaran. Ambil iktibar dari Lebai Malang. Mat Jenin tidak sampai kemana. Relakah generasi akan datang menuduh kita seperti Pak Kaduk?
 
Pada setiap tahap perkembangan, tidak dapat dinafikan negara bangsa berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran. Ianya dihadapi dan disesuaikan hingga setiap satu pembaharuan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan gentar. Dalam diri kita ada Islam, ada Melayu, ada kekukuhan Beraja.
 
Jika pelajaran, pengalaman dan keteguhan semangat yang bakal kita wariskan, bukan sekadar bahan khazanah maka generasi penerus hendaklah belajar serta mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang tidak baik, tidak terkecuali iktibar yang dapat diambil daripada karya sastera klasik.
Harta yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita, baik dalam bentuk fizikal mahupun kesusasteraan bangsa, adalah merupakan kreativiti fikiran bangsa Melayu yang penting. Warisan budaya, jika tersilap langkah, boleh dihapus atas nama pembangunan dan globalisasi. Walhal untuk menjadi bangsa yang mempunyai kelebihannya sendiri dalam bidang apa pun, kita perlu menjadi bangsa yang kreatif, berfikiran matang bagi mencipta pembaharuan berdasarkan budaya dan nilai sendiri, tidak dengan meniru nilai dan budaya orang lain. Teras nilai kita ialah penghayatan negara MIB.

Rujukan : Pelita Brunei
Category:

Bicara An-Nur : Bulan Membaca (Khutbah Jummat)

Kategori : jumaat (08-Jun-2007)
22hb Jamadilawal 1428H
BULAN MEMBACA

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

Islam meletakkan ilmu sebagai asas pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Oleh itu Islam amat menitikberatkan umatnya untuk menuntut ilmu kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam Surah Al 'Alaq ayat 1-5 tafsirnya :

"Wahai Muhammad bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".

Berdasarkan ayat tersebut menunjukkan bahawa membaca adalah asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Sejak peristiwa agung di Gua Hira itu, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mula memperkembangkan budaya membaca di kalangan umatnya. Di zaman permulaan Islam, Baginda membacakan Al-Qur'an kepada para sahabat dan mereka terus mempelajari, memahami dan menghafaznya. Begitu juga halnya yang mereka lakukan terhadap hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di awal perkembangan Islam di Madinah. Melalui Al-Qur'an dan hadis inilah mereka mempelajari aqidah, syariah dan akhlak di samping mempelajari hal-hal kenegaraan seperti Perundangan, pertahanan, kemasyarakatan, perekonomian dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tamadun membaca ini terus berkembang pesat lebih-lebih lagi di zaman Kerajaan Abasyiah yang berpusat di Baghdad, Iraq. Ketika itu pusat-pusat pengajian berkembang luas di kota-kota Baghdad dan beberapa kota lainnya. Mereka mengkaji khazanah peninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang berupa Al-Qur'an dan hadis. Mereka menganalisa ayat-ayat yang berkaitan dengan cakerawala, gunung-ganang, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hasil daripada perkembangan ini lahirlah cabang-cabang ilmu seperti Astronomi, geologi, geografi, fizik, kimia, biologi, zoologi, botani dan sebagainya. Mereka juga mengkaji, menterjemah dan membuat penambahbaikan ilmuan dari luar seperti Ilmu falsafah dari Yunani, ilmu falak dan hisab dari Hindi, Parsi dan sebagainya. Hasil dari budaya membaca ini telah menjadikan perbendaharaan ilmu Islam bertambah bernas dan kemas.

Dari sini lahirlah tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti Ibnu Sinna, Ibnu Rusydi, Al Faribi, Al Bironi, Al Khawarizmi dan ramai lagi. Kebanyakan mereka bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang tertentu, malah juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Contohnya seperti Ibnu Sinna yang terkenal sebagai pakar ilmu perubatan, dalam masa yang sama beliau juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Malah beliau adalah seorang hafaz Al-Qur'an. Begitu juga Al Bironi, beliau bukan sahaja seorang pakar astronomi bahkan juga berkemahiran dalam bidang fizik, geologi, sejarah dan juga bahasa. Begitulah juga dengan tokoh-tokoh yang lain. Itulah dia kecemerlangan peradaban tamadun ilmu iaitu kesan langsung dari budaya membaca tersebut.

Justeru itu, benarlah janji Allah bahawa orang yang berilmu itu tetap istimewa dan berbeza daripada orang yang tidak mempunyai ilmu, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mujaadilah ayat 11 tafsirnya :

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam sebuah hadis maksudnya :

"Dari Annas bin Malik ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Menuntut ilmu adalah satu kefarduan (wajib) ke atas setiap Muslim". (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat, sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya. Melalui ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain dan seterusnya akan terbentuklah satu budaya membaca di kalangan masyarakat.

Bagi mewujudkan budaya membaca dalam masyarakat, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk mencintai ilmu pengetahuan dan minat membaca, antaranya ialah dengan mengadakan kempen memberi kesedaran tentang faedah tabiat membaca secara lebih sistematik dan meluas termasuk mengadakannya di tempat awam seperti di pusat membeli-belah dan di tempat-tempat lain. Para pentadbir sekolah atau institusi pendidikan tinggi pula perlu mengadakan minggu membaca atau program yang boleh menggalakkan para pelajar untuk membudayakan tabiat membaca.

Sikap suka membaca perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Anak-anak kecil perlu dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau mendengar cerita yang dibacakan dari buku. Oleh itu, para ibu bapa berperanan sebagai 'role model' dengan memberikan contoh terbaik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa yang suka membaca adalah sebagai pendorong dan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka untuk suka membaca.

Muslimin yang diberkati Allah,

Melihat betapa pentingnya kesedaran membaca itu perlu dipupuk di kalangan masyarakat kita, khususnya kanak-kanak dan belia-belia, maka Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah agensi kerajaan yang berkait rapat dengan bidang pembacaan ini telah mengungkayahkan projek bulan membaca sepanjang bulan Jun 2007 ini.

Peluang inilah yang perlu diambil oleh ibu bapa, kanak-kanak dan belia-belia untuk membiasakan diri mereka berdamping dengan buku-buku dalam usaha memupuk supaya minat membaca. Walau bagaimanapun perlu juga diambil perhatian agar bahan-bahan bacaan itu hendaklah buku-buku yang berfaedah dan boleh menambah ilmu pengetahuan dan bukannya buku-buku yang boleh merosak minda dan menyesatkan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita kembali kepada seruan Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperteguhkan iman dan memperkukuhkan jati diri sebagai Muslim sejati. Satu-satunya cara untuk membina dan membentuk identiti ialah dengan memperbanyakkan ilmu. Orang yang kaya dengan ilmu akan mampu menangkis unsur-unsur yang negatif.

Oleh itu, marilah kita meneruskan dan mempertingkatkan budaya membaca dari semasa ke semasa. Perlu diingat, satu-satunya jalan untuk mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca dari sumber yang benar dan sahih. Mudah-mudahan dengan kekuatan ilmu pengetahuan, dapat mencipta kecemerlangan dan memartabatkan umat Islam ke mercu kejayaan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-Zumar ayat 9 tafsirnya :

"Katakanlah lagi kepadanya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Category: 0 comments

Bicara Seni : Hasil Analisis Sajak "Kita Akan Pulang" (Pelajar SMJA - Tahun 9D)

Category: 0 comments

Bicara Ilmu : Sama-sama Berpantun Ria

Assalamualaikum para pencinta sastera. Pada malam ini, kami akan membukakan sesi "Sama-sama berpantun Ria". Tujuannya adalah untuk mengasah kekreativiti awda semua untuk berpantun dan bersuka ria sambil mengekalkan khazanah warisan budaya bangsa Melayu itu sendiri. Sila kemukakan pantun awda pada ruang komen di bawah yang telah disediakan.

Ramai orang ke Tanjung Bidara,
Hingga lengang orang di kota :
Awal bismillah pembuka bicara,
Salam diberi pelengkap kata.
Category: 7 comments

Aktiviti Mencari Persoalan Dalam Cerpen "Pantaran" Karya Aminah Haji Momin

Cerpen "Pantaran" mengisahkan seorang watak yang bernama Haji Zaki merasa marah kerana pantarannya telah diroboh. Dalam cerpen ini, terdapat beberapa persoalan yang ditampilkan (dikemukakan) oleh si penulis. Oleh itu, kamu diminta untuk menyenaraikan persoalan-persoalan tersebut dan disertakan dengan contohnya. Segala hasil kajian kamu hendaklah dimuatkan ke dalam ruangan komen (comments) di bawah berikut. Sekian dan selamat maju jaya.
Category: 2 comments

Aktiviti Analisis Bagi Cerpen "Azam Kemerdekaan".

Klip video di bawah mempunyai keterkaitan dengan cerpen "Azam Kemerdekaan" karya Syawal Rajab. Dengan menggunakan daya kreativiti, kamu diminta untuk mengaitkan perihal (perkara) yang berkait rapat dengan cerpen "Azam Kemerdekaan". Kajian (jawapan) kamu mestilah disertakan dalam ruangan komen (comments) di bawah klip video ini. Sila sertakan nama penuh, tahun dan sekolah awda. Selamat mengkaji dan teruskan perjuangan.

Category: 3 comments

Aktiviti Menganalisis Isi-isi Penting.

Klip video di bawah ini mengandungi beberapa isi-isi penting yang telah dikemukakan oleh si pidato(orang yang berbicara). Dalam aktiviti ini, kamu diminta untuk menyenaraikan beberapa isi penting yang dirasakan relevan (sesuai) untuk dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kepada kita semua. Selamat mengkaji dan teruskan perjuangan.

Category: 0 comments

Kegiatan Seni di Negara Brunei Darussalam : Teater Bangsawan - Keris Menjadi Saksi



Pada 23 Oktober 2010 yang lalu, PUSAT SENI SEMANJUNG dengan kerjasama Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) telah mengungkayahkan satu pementasan Teater Bangsawan yang berjudul "Keris Menjadi Saksi". Teater Bangsawan "Keris Menjadi Saksi" adalah Road Show Sosialisasi Budaya Melayu Riau (Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura) Oktober-November 2010 daripada PUSAT SENI SEMANJUNG dengan membawakan tema Persembahan Budaya Melayu Riau "Gelar Budaya Riau". Persembahan tersebut diadakan di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Tetamu kehormat yang menyaksikan persembahan malam itu adalah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Turut menjayakan persembahan tersebut adalah Kementerian Kebudyaan Belia dan Sukan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Radio Telvisyen Brunei, Kelab Rakis (Universiti Brunei Darussalam), Kedutaan Besar Republik Indonesia, media massa dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.


Latar Belakang Pusat Seni Semanjung (Arts Training Center)


Melayu, khususnya Riau memiliki kekayaan seni budaya, sarat muatan tuntunan moral yang dapt memperkuatkan karakter bangsa. Oleh kerana itu perlu menjaga, melestarikan dan mengembangkannya sebagai cermin bangsa yang beradab.

Dalam rangka itu, beberapa mahasiswa Riau dari berbagai kabupaten dan Asrizal Nur, seniman asal didukung oleh HM. Lukman Edy mantan Menteri PErcepatan Daerah dan kini sebagai Ketua Umum Persatuan Masyarakat Riau, Jakarta. Berikutan memegang jawatan sebagai Ketua Umum, beliau menubuhkan Pusat Latihan Seni Semenanjung (Seni Melayu Nun Dijunjung) ditubuhkan pada 1 April 2010, di sekretariat himpunan Pelajar Mahasiswa Bengkalis (HIPEMALIS).


Pusat Latihan Seni Semenanjung membuka pelatihan seni, antara lainnya ialah seperti teater, tari, musik dan deklamasi. Dengan empat cabang kesenian tersebut, kelak dapat membina dan melahirkan pelaku seni berbakat yang dapat melestarikan kesenian Melayu antara lain; teater bangsawan, dendang Melayu, puisi : pantun, guridam, syair dan tari Melayu. Keempat-empat kesenian tersebut adalah asas kesenian Melayu yang akan memperkukuhkan bangunan kebudayaan Melayu.

Teater Bangasawan (Bangsawan Theater)


Teater Bangsawan , dahulunya Bangsawan adalah drama Melayu yang ditampilkan melebihi satu babak, tiga bahkan lebih dengan durasi lebih dua jam, setiap babak ditandai dengan syair atau lagu dengan pergantian setingg panggung dan latar belakang panggung berbentuk layar yang dilukis.

Bangsawan memiliki penokohan yang hampir sama dengan ketoprak (Jawa), Mamanda (Kalimantan), Lenong Dians (Betawi), ada tokoh Raja, Panglima perang atau tokoh kerajaan lainnya, tokoh komedi biasanya disebut kadam, dan tokoh antogonis seperti lanun atau perompak. Bangsawan dahulu kalanya adalah seni drama tontonan raja, oleh kerana waktu itu banyak aturan-aturan yang tidak boleh melanggar tatakrama kerajaan.


Pada Teater Bangsawan "Keris Menjadi Saksi" sudah diinovasi sesuai dengan perkembangan zaman, tidak menggunakan layar yang berlapis-lapis tetapi diganti layar projektor, cerita cukup satu babak saja dengan durasi kurang dari dua jam namun ciri khas bangsawan seperti penokohan, alur cerita, syair, tari dan muzik Melayu tetap dikekalkan.


"Keris Menjadi Saksi" ditulis oleh Temul Amsal dan di Sutradarai oleh Asrizal Nur. Pada Road Show Sosialisasi Budaya Melayu Riau, Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, Oktober-November 2010 didukung oleh para penari dari Sanggar Srigemilang Indagiri Hilir Riau.


Sutradara Asrizal Nur




Di samping penyair dan deklamtor, ia juga seorang dramawan, baik terlibat seabgai aktor, penulis naskah, sutradara bahkan pimpinan produksi telah dilakoni beliau. Naskah teater yang beliau tulis dan disutradarai adalah : Umar bin Kattab, Sang Yang Hitam, Belantara Naga, Surat Cinta Untuk Marsinah, Reformasi Orang-orang Pabrik, Tabir, Opera Pantun dan lain-lain. Beliau pernah bermain teater bangsawan bersama tokoh-tokoh teater klasik antara lain BM. Syamsuddin berjudul Tun Nila Utama ditampilkan di acara Pertemuan Adat Melayu se Sumatra, Ketabong, Ketuban bersama Temul 'Amsal. Untuk membangkitkan kecintaan anak-anak muda Riau di Jakarta terhadap kesenian Melayu, beliau mengagas dan mengasuh Pusat Latihan Seni Semanjung. Beliau mengangkat dan membesarkan Melayu, khususnya Riau adalah perjuangan beliau yang tidak akan habis.


Penulis Temul 'Amsal


Beliau adalah salah seorang teater klasik terkenal di Riau, masa mudanya beliau kerap kali memenangkan festival teater. Pemimpin Teater Gema ini telah banyak menulis naskah drama klasik dan sekaligus menyuntradainya, antara lainnya ialah Ketuban, Puah, Inaio Berdarah, Putri Lindung Bulan, Misteri Pulau Penyamun, Puang yang kemudiannya atas izinnya diganti judulnya oleh Asrizal Nur berubah "Keris Menjadi Saksi". Ketika beliau bekerja di Depertmen Penerangan Provinsi Riau, belaiu banyak juga menulis naskah drama radio dan drama televisyen. Temul juga seorang penyair dan pelukis. Seniman ini menetap di Pekanbaru, Riau. Untuk pementasan Teater Bangsawan "Keris Menjadi Saksi", beliau bertugas sebagai penata panggung.




Sinopsis "Keris Menjadi Saksi"


Syahdan dahulu kala, di kerajaan Pelalawan Riau, tersebutlah seorang raja adil dan budiman Sultan Syah Alam namanya. Ia dikhianati oleh Panglimanya bernama Kiau. Sultan, isteri dan anaknya dibunuh, namun seorang antara anaknya bernama Jalak diselamatkan oleh Datuk Bendahara. Dua puluh tahun Kemudian, di rumah Alang loma,Panglima Sultan yang jujur dan berbudi. Ketika Kipa yang telah mengangkat dirinya menjadi raja itu berhasrat meminang putri Alang Loma, Jalak hadir, bersama Datuk Bendahara yang menyamar sebagai Kemantan dibantu Alang Loma, kebusukan dan keserakahan Kiap terungkap dan Jalak berhasil membuka kedok Kiap dengan keris yang telah membunuh ayahandanya, dendam pun terbalaskan.


Category:

Bicara An-Nur : 'Rapat Dunia Lupa Akhirat' Meruntuhkan Akhlak Manusia

'Rapat dunia lupa Akhirat'
meruntuhkan akhlak manusia
 

 
MUFTI Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Kampung Perpindahan Mata-mata, Gadong sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam. (Foto : Ak. Amirulnizam Pg. Haji Ali) 
 
GADONG, Jumaat, 22 Januari. - 'Rapat dunia lupa Akhirat' meruntuhkan akhlak manusia kerana pada zaman ini manusia paling rapat kepada dunia, paling sibuk dengan dunia, paling kasih, lalai, asyik dan mabuk dengan dunia dan lantaran itu ramai orang lupa kepada Akhirat.

"Akhirat kabur di hati dan jiwa kita dan yang terus bergemerlap dan berkilauan ialah dunia dengan segala perhiasannya, tarikannya, sorak-surainya, mainannya, hiburan dan segala pesonanya yang menjadikan Akhirat serta segala nikmatnya bertambah-tambah jauh dan kabur dari hati nurani manusia," jelas Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam Kuliah Subuh Bersama Mufti berlangsung di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong.

Yang ada tambah Yang Berhormat Pehin, lumrah dan rancak berebut dunia, berebut nikmat dunia dan berlumba-lumba membina dunia dengan bahan-bahan yang dikutuk oleh Allah dan dibenci oleh agama.

Menurut Yang Berhormat Pehin, untuk menjadi kaya, orang mahu berbuat apa saja: makan riba, rasuah, menipu, bercakap bohong, bersumpah palsu dan lain-lain.

"Ada rezeki daripada Allah tidak mahu puas, kalau berkongsi milik datanglah tamak, kawan kongsi dianiaya/dibinasa supaya diri sendiri mendapat lebih atau dapat membolot semuanya," ujar Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menegaskan, tamak haloba membawa binasa, orang yang percaya perkara-perkara ghaib, seratus-peratus percaya, tidak akan bersifat tamak, takut untuk menjadi manusia yang tamak, manusia yang bersifat hasad dengki dan khianat kerana mereka takut pada neraka, takut pada soalan-soalan dalam kubur yang sedang menunggu dan takut pada hisab di Hari Kebangkitan yang sedang menunggu.

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan, manusia mempunyai pangkat dan darjat masing-masing, di mana pangkat dan darjat manusia itu berbeza-beza dan ditentukan oleh keadaan hati masing-masing.

Hati manusia itu terbahagi kepada tiga, iaitu Qalbun Salim (hati yang selamat/hati yang sejahtera), Qalbun Maiyit (hati yang mati) dan Qalbun Maridh (hati yang sakit).

Yang Berhormat Pehin, dalam kuliah itu juga menyentuh mengenai hati manusia yang menjelaskan orang yang memiliki Qalbun Salim (hati yang selamat) mendapat petunjuk daripada Al-Qur'an, di mana mereka membaca Al-Qur'an dan cahaya Al-Qur'an itu menerangi hati-hati mereka.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, orang yang membaca Al-Qur'an tetapi akhlak dan gaya hidupnya bercanggah dengan ajaran Al-Qur'an maka hati orang yang seumpama ini mungkin saja bukan hati orang yang selamat kerana hati-hati yang selamat itu hanya milik bagi orang-orang yang bertakwa sahaja.

Yang Berhormat Pehin menambah, Sayyidina Ali Karramahullahu Wajhah mentafsirkan takwa itu ialah takut kepada Yang Maha Besar Allah, beramal dengan apa yang diturunkan Al-Qur'an, redha dengan kurnia Allah yang sedikit dan membuat persediaan untuk hari kemudian.

Yang Berhormat menegaskan, jika tidak ada sebagaimana yang dikatakan oleh Sayyidina Ali Karramahullahu Wajhah itu, maka itu bukannya takwa.

"Tidak takut Allah, tidak mengikut ajaran Al-Qur'an, tidak redha dengan pemberian Allah yang sedikit dan tidak ada usaha untuk membuat persediaan menghadapi mati, maka belumlah timbul cerita takwa itu, belumlah layak untuk ia dimiliki," terang Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, takwa adalah perkara hebat, perkara besar, perkara qudus/suci, perkara yang membawa ke syurga.

Dalam kuliah subuh tadi Yang Berhormat Pehin menegaskan, pemilik hati yang selamat mestilah ia beriman kepada perkara-perkara ghaib, kepada malaikat, jin, syurga dan neraka.
"Dia juga beriman kepada Hari Kebangkitan, Hari Perhimpunan di Padang Mahsyar, beriman kepada kitab-kitab Allah, kepada mizan (timbangan amal), kepada Kursy dan Arasy Allah Ta'ala, kepada Lauh, Qalam, Shirath," tegas Yang Berhormat Pehin.

Semua ini jelas Yang Berhormat Pehin, wajib dipercayai dan sesiapa yang mengingkarinya (tidak percaya), maka ia keluar daripada Islam.

Orang yang berhati selamat/sejahtera kata Yang Berhormat Pehin, pasti mempercayai perkara-perkara ghaib dan kepercayaan itu adalah jiwa amalnya, di akhirat kelak, mereka akan beroleh syurga kerana mereka tidak pernah lupakan akhirat dan nikmat Akhirat adalah idaman mereka.

Yang Berhormat Pehin selanjutnya berkata, kerana itu juga hati-hati mereka tetap bersih dan tetap sihat dalam makna tetap selamat tanpa dicemari oleh sebarang penyakit sebab hati yang berpenyakit tidak mampu untuk menunjukkan jalan ke syurga.

Kuliah Bersama Mufti yang diadakan selepas menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong adalah juga bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1431/2010.

Sumber : Pelita Brunei
Category:

Bicara An-Nur : Laksanakan Rukun Haji Dengan Sempurna (Khutbah Jummat)

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Kita sekarang telah berada di bulan Zulkaedah dan tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Zulhijah, bulan di mana umat Islam yang berkemampuan akan berpeluang mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji. Begitulah juga di Negara Brunei Darussalam, insya-Allah bakal jemaah haji akan berpeluang menunaikan ibadat haji dan mereka akan mula berangkat secara berjadual meninggalkan tanah air menuju ke Tanah Suci Mekah Al-Mukaramah bagi mengunjungi Baitullah Al-Haram untuk menunaikan tuntutan ibadah haji. Kita berharap bakal jemaah haji telah membuat persediaan awal dari segi fizikal, mental dan mengetahui panduan yang berhubung kait dengan ibadah haji atau dikenali sebagai manasiq haji.

Ibadah haji adalah diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat untuk mengerjakannya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 97 tafsirnya:

"Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa mengingkari kewajipan ibadat haji, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian alam."

Di dalam Al-Qur'an telah dinyatakan bahawa bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadat haji itu hendaklah berkuasa atau berkemampuan. Apa yang dimaksudkan dengan berkuasa atau berkemampuan itu ialah bakal jemaah haji hendaklah mempunyai kewangan yang mencukupi, memastikan tubuh badan sihat dan perjalanan pergi balik ketika mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selamat. Berkemampuan bukan setakat bererti mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa menunaikan fardu haji sahaja, bahkan juga hendaklah berkemampuan untuk menyediakan nafkah dan perbelanjaan yang cukup untuk sara hidup bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan. Inilah ertinya pengorbanan yang harus dihadapi oleh para jemaah yang hendak menunaikan ibadat haji, mereka bukan sahaja perlu membelanjakan wang yang banyak, malahan juga turut berkorban masa dan tenaga serta perasaan kerana meninggalkan keluarga semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala sebagai tanda taat, syukur dan cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Untuk itu, bagi mereka yang telah sempurna syarat-syarat untuk mengerjakan ibadat haji, hendaklah mereka menyegerakan tanggungjawab tersebut. Apatah lagi Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bersegera dalam membuat amal kebajikan lebih-lebih lagi ibadat yang dituntut dan diwajibkan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 133 tafsirnya:

"Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan Syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa."

Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan sesuatu ibadat itu kepada hamba-hamba-Nya setentunya mempunyai hikmah dan ada ganjarannya. Begitu juga ibadah haji. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan ibadah haji itu sangat banyak maka alangkah beruntungnya mereka yang dapat melaksanakan ibadat tersebut khususnya kepada saudara-saudara kita yang akan mengerjakan haji pada tahun ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasiq, maka dia suci daripada dosa-dosanya seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dari hadis itu telah menjelaskan betapa Allah Subhanahu Wata'ala telah menjanjikan ganjaran yang sangat tinggi nilainya, siapakah yang tidak mahu dirinya suci dari dosa seumpama anak damit yang baru lahir? Sudah tentunya setiap orang mahukan dirinya bersih dan suci dari segala dosa. Oleh itu jika kita mahu memperolehi ganjaran tersebut, ibadah haji hendaklah dikerjakan dengan tulus ikhlas, bersungguh-sungguh dan berhati-hati agar ibadat haji yang dikerjakan itu mendapat haji yang mabrur dan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya haji yang mabrur itu ganjarannya adalah Syurga, tempat yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Dan haji yang mabrur itu yakni yang diterima itu tiada balasan baginya selain Syurga." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Memang tidak dinafikan semua orang yang mengerjakan ibadat haji itu mahu mendapatkan haji yang mabrur. Justeru para bakal jemaah haji hendaklah melaksanakan rukun-rukun dan wajib-wajib serta sunat-sunat haji itu dengan sempurna. Selain itu para bakal jemaah haji janganlah sekali-kali mengabaikan ibadat-ibadat yang wajib seperti ibadat sembahyang fardu lima waktu hendaklah ditunaikan dalam waktunya, walaupun pada ketika itu para jemaah sedang sibuk dan penat melakukan ibadat-ibadat dan manasiq haji. Di samping itu mereka juga hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengerjakan Sembahyang Sunat Rawatib, membaca Al-Qur'an, memperbanyakkan tawaf sunat, berdoa, berzikir, berselawat, beriktikaf dan bersedekah. Apa yang penting mereka hendaklah juga memelihara diri dari melakukan sebarang perbuatan berdosa seperti memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku. Para jemaah juga hendaklah menjauhi dari melakukan perkara-perkara karut atau khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Meskipun pada masa ini perkara khurafat semakin tidak lagi kedengaran dilakukan oleh para jemaah haji kita, namun kita hendaklah sentiasa saling beringat agar para jemaah tidak terpedaya atau terpengaruh oleh hasutan syaitan untuk melakukan apapun jua perbuatan khurafat, kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan ibadah haji malahan juga boleh menjejaskan akidah seseorang.

Apabila berada di tanah suci nanti, sememangnya para bakal jemaah haji akan menghadapi banyak kesulitan dan rintangan. Mungkin ada di antara mereka yang akan menghadapi kepayahan dan kesukaran kerana tidak biasa dengan keadaan bersesak-sesak dan berhimpit-himpit, ataupun merasa kurang selesa kerana kemudahan yang tidak mencukupi, ataupun terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah yang timbul antaranya masalah kesesakan jalan raya seperti perjalanan menuju daripada Arafah ke Mina, ataupun menunggu ketibaan kenderaan pengangkutan yang terlalu lama, ataupun terpaksa menghadapi kerenah-kerenah orang di sekeliling yang pelbagai ragam yang mungkin tidak menyenangkan hati dan sebagainya. Maka dalam menghadapi kesulitan dan rintangan tersebut, para jemaah haji hendaklah menghadapinya dengan tabah, sabar dan reda serta memperbanyakkan doa dan zikir supaya hati menjadi tenang dan tenteram. Peliharalah diri dari bersifat marah, mengeluh atau merungut dalam menghadapi apa jua kesukaran atau ketidakselesaan ketika berada di Tanah Suci nanti. Semua ini hendaklah diterima sebagai ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dalam usaha untuk mendapatkan haji yang mabrur sebagainya yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita bersyukur dan merasa gembira dengan saudara-saudara kita yang berpeluang dan beruntung untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. Semoga kesempatan yang diperolehi tidak disia-siakan bahkan akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kita berharap bagi umat Islam yang belum berkesempatan menunaikan fardu haji pada tahun ini akan berazam dan bertekad untuk mengerjakan tuntutan haji pada masa hadapan dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya marilah kita mendoakan semoga para bakal jemaah haji, khasnya jemaah haji Negara Brunei Darussalam akan sentiasa beroleh keselamatan dan kesihatan yang baik serta dapat mengerjakan wajib-wajib haji dan manasiq haji dengan sempurna dan seterusnya semoga mereka selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air dengan memperolehi haji yang mabrur. Amin Ya Rabbal'alamin.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Hajj, ayat 27-28 tafsirnya:
 
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai-bagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak untuk dijadikan korban, dengan yang demikian makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."


Sumber : Pelita Brunei
Category:

Bicara An-Nur : Menunaikan Fardu Haji

IBADAH Haji merupakan satu kewajipan bagi umat Islam yang sudah mampu untuk melaksanakannya, baik secara jasmani mahupun secara rohani. Mampu di sini menunjukkan kepada kemampuan untuk menyediakan bekal selama perjalanannya menunaikan haji sehingga dia pulang ke tanah airnya. Seorang fakir yang tidak mempunyai harta yang tidak mampu menanggung perbelanjaan kehidupannya serta keluarganya maka tidaklah wajib baginya melaksanakan ibadah haji. Dan begitu juga ketika seseorang yang memiliki harta yang cukup tetapi tidak ada kenderaan untuk pergi melaksanakan ibadah haji kerena tempatnya yang jauh dan tidak boleh ditempuhi dengan berjalan kaki ataupun perjalanannya tidak aman atau situasi perjalanan yang membahayakan maka tidak wajib baginya ibadah haji, kerana semua itu dikategorikan kepada tidak mampu dan tidak wajib melakukan ibadah haji.

Haji merupakan salah satu Rukun Islam. Islam sangat menganjurkan kepada umatnya untuk melaksanakan ibadah haji tersebut. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadisnya memotivasi kita untuk melaksanakannya yang bermaksud:

"Barang siapa yang melaksanakan ibadah haji, kemudian tidak berkata kotor dan tidak berbuat kefasiqkan, akan dibersihkan dosadosanya, sebagaimana waktu ia baru dilahirkan oleh ibunya."

Dalam hadis lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda yang bermaksud: "Haji mabrur tidaklah ada balasannya kecuali Syurga." Begitu pentingnya ibadah haji ini sehingga
Rasulullah sangat menganjurkan ibadah ini dengan mengumpamakan seorang yang sudah melaksanakan ibadah haji akan suci sebagaimana seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi, begitu juga bagi orang yang melaksanakan ibadah haji dan ia memperolehi haji yang mabrur, maka dia akan mendapat balasan Syurga, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis tadi.

Allah Subhanahu Wata'ala juga berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 197, tafsir-Nya:

"(Musim untuk mengerjakan) ibadah haji itu ialah pada beberapa bulan yang termaklum. Oleh itu sesiapa yang telah mewajibkan ke atas dirinya (dengan niat ihram mengerjakan) ibadat haji pada bulan-bulan itu, maka tidak boleh mencampuri isterinya dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan ianya diketahui oleh Allah. Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa. Dan bertakwalah kamu kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Firman Allah Subhanahu Wata'ala ini menegaskan kepada kita bahawa ketika kita sudah berazam (menetapkan niat) untuk melaksanakan ibadah haji, hendaklah dia mempersiapkan dirinya dengan sebaik-baiknya. Persiapan itu adalah seperti tidak berkata-kata perkara yang kotor, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan ketika melaksanakan ibadah haji. Kerana ibadah haji merupakan ibadah yang sangat mulia, Allah Subhanahu Wata'ala mengisyaratkan untuk benar-benar membersihkan dirinya dari sifat-sifat, tingkah laku dan akhlak yang tercela. Hal ini adalah saranan untuk mendapatkan haji yang mabrur yang sudah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Pada akhir ayat ini sangat jelas diterangkan bahawa sebaik-baik bekal untuk melaksanakan ibadah haji adalah takwa. Persiapan menjelang ibadah haji adalah dengan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Melakukan amalan-amalan wajib dan sunnah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ertinya seseorang yang akan melaksanakan ibadah haji sudah tergambar kebersihan dirinya sebelum melaksanakan ibadah tersebut. Berbeza dari yang banyak difahami orang bahawa kebersihan diri didapatkan setelah melaksanakan ibadah haji. Banyak orang beranggapan bahawa setelah haji dia akan lebih taat kepada Allah. Ketahuilah bahawa setiap perbuatan atau ibadah yang kita lakukan, berjaya atau tidaknya banyak tergantung kepada persiapan dan perbekalan yang sudah disiapkan.

Banyak makna-makna yang tersirat dalam pelaksanaan ibadah haji, di antara rukun-rukun ibadah haji sebagai berikut:

* Ihram dari Miqat mengajarkan kita supaya mendisiplinkan diri dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Ketika melakukan ihram melampaui miqat, maka seseorang akan dikenakan dam. Begitulah ibadah haji mengajarkan kepada seorang Muslim untuk berdisiplin dan taat kepada aturan Allah. Dengan memakai pakaian ihram yang tidak berjahit dan berwarna putih mengajarkan kita kepada persamaan darjat. Ketika seseorang memakai pakaian ihram, tidak akan nampak perbezaan pangkat dan darjat di kalangan mereka hanya ketakwaan kepada Allah sajalah yang membezakan kita.

* Tawaf bererti mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali. Tawaf ini diumpamakan seperti sembahyang. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Tawaf mengelilingi kaabah adalah seperti sembahyang akan tetapi kamu boleh berbicara di dalamnya dan barang siapa yang berbicara maka hendaklah membicarakan hal yang baik-baik."

* Sa'i iaitu berlari-lari kecil antara Bukit Safa dan Marwa semata-mata untuk melakukan ibadah kepada Allah, mengingatkan kita pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya yang sedang kehausan, iaitu Siti Hajar dengan anaknya Nabi Ismail Alaihissallam.

* Wukuf di Arafah, mengajarkan kita makna kebersamaan dan mengingatkan kita akan Hari Kiamat di mana manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya di dunia, dengan melakukan wukuf di Arafah. Para hujjaj merasakan bahawa hari berkumpul di Padang Mahsyar itu pasti ada dan setiap kita akan diminta pertanggungjawabkannya. Wukuf di Arafah merupakan rukun yang terpenting dalam ibadah haji, sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengatakan al-hajju Arafah, ertinya: Haji itu adalah Arafah.

Kemudian setelah wukuf di Arafah, para hujjaj bermalam di Muzdalifah kemudian di Mina, para jemaah haji akan melakukan jumara'at, iaitu: Melemparkan batu kerikil sebanyak tujuh biji ke tempat jumara'at masing-masing. Ini memberikan makna bahawa kita sentiasa berjuang untuk melawan hasutan iblis dan syaitan yang sentiasa mengganggu manusia.

Ibadah haji merupakan muktamar besar umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan datang bersama-sama untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Suatu ibadah yang tidak dimiliki oleh agama lain ini tentunya akan mempereratkan persatuan dan kesatuan umat dan akan terjalin ukhuwwah Islamiah yang menyeluruh bagi umat manusia daripada seluruh dunia. Ibadah haji mengajarkan kita sikap thawadhu', melupakan pangkat dan darjat, tidak ada perbezaan antara orang kaya dan miskin, tidak ada perbezaan pakaian melainkan pakaian ihram yang disarankan, bersama-sama berkumpul di Arafah, tidak membicarakan perkara-perkara yang mungkar, tidak ada yang meninggikan mereka melainkan darjat ketakwaan mereka di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Sumber : Pelita Brunei
Category:

Bicara Ilmu : SPN21 Strategi Utama Realisasikan Wawasan 2035


TUNGKU LINK, Khamis, 28 Oktober.- Sebagai sebuah negara berdaulat, Negara Brunei Darussalam, walaupun kecil tidak menghalang kita untuk berwawasan besar sebagaimana Wawasan 2035 untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya serta mempunyai kehidupan yang berkualiti tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail menekankan perkara itu semasa berucap di Majlis Pembukaan Rasmi Program Kepimpinan Sekolah Kohort Kali Ke-4 Tahun 2010 belangsung di Bilik Kuliah, Aras Bawah, Bangunan Institut Kepimpinan, Pembaharuan dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail semasa berucap merasmikan Program Kepimpingan Sekolah Kohort Kali Ke-4 Tahun 2010 (Foto : Hj. Masmaleh Hj. Mohd. Ali)
Dato Seri Setia menjelaskan, perlaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 atau SPN21, adalah salah satu strategi utama ke arah merealisasikan wawasan tersebut dan untuk mencapai hasrat itu, Kementerian Pendidikan meletakan expektasi yang tinggi terhadap kepimpinan sekolah.

Pengalaman terdahulu, tambah Dato Seri Setia telah membuktikan bahawa kepimpinan sekolah memainkan peranan utama di dalam pembangunan sekolah-sekolah yang berjaya.

"Kerana itu, selaku pemimpin-pemimpin sekolah abiskita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan yang berbeza dengan bekerja dalam suasana persekitaran yang lebih mencabar, berbanding dengan pemimpin-pemimpin sekolah yang terdahulu," kata Dato Seri Setia.

Dato Seri Setia menambah, dengan mengikuti Program Kepimpinan Sekolah (PKS) ini diharapkan akan dapat menyediakan para peserta menjadi seorang yang berwawasan dan sebagai agen perubahan yang mengubah sekolah pimpinan mereka menjadi sekolah cemerlang dan sekolah teladan.

Semasa berucap Timbalan Menteri Pendidikan juga berkata, Kementerian Pendidikan telah menerima maklum balas yang memberangsangkan dari pihak ALA dan Unit Pasukan Dalaman, agen perubahan yang telah memberikan tunjuk ajar kepada 97 buah sekolah sejak program ini mula dijalankan.

Hasil dari laporan tersebut katanya, hampir kesemua sekolah dari kedua-dua 'kohort' yang terdahulu telah menampakkan peningkatan sebanyak dua digit pencapaian prestasi pelajar-pelajar di dalam bidang akademik masing-masing.

"Sekolah-sekolah yang mengikuti program itu juga telah dapat menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penglibatan para ibubapa dan penjaga pelajar-pelajar. Pencapaian ini sesungguhnya amat mengalakkan," kata Timbalan Menteri Pendidikan.

Kementerian Pendidikan ujar Dato Seri Setia akan sentiasa mempastikan segala usaha yang dibuat sejajar dengan Wawasan Negara 2035, dan ini merupakan salah satu keutamaan.

Oleh itu, Dato Seri Setia berseru kepada setiap peserta agar membuat komitmen yang sama dengan meletakan PKS sebagai agenda nombor satu sekolah.

Seramai 96 pemimpin sekolah dari 32 buah sekolah rendah, menengah, vokasional dan sekolah sukan terpilih menyertai program selama lima hari itu.

Para peserta mendapatkan latihan terus dari dua pakar kepimpinan bertaraf dunia iaitu Professor Noel Tichy dan Mr. Bob Knowling.

Juga hadir di majlis tersebut, Pemangku Pengarah ILIA, UBD, Dayang Shamsiah Zuraini Kancanawati, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Pemangku Naib Cnaselor UBD, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pengetua-pengetua dan guru besar.

Sumber : Pelita Brunei
Category:

Kegiatan Seni di Negara Brunei Darussalam : Seminar Sastera dan Pendidikan

Program Kesusasteraan Melayu (Mahasiswa-Mahasiswi Kursus AS2401 Sastera dan Pendidikan) dengan kerjasama Kelab Rakis Universiti Brunei Darussalam akan mengadakan Seminar Sastera dan Pendidikan pada hari rabu, 3 Oktober 2010  (pukul 2.15 petang) di Basement Floor, Dewan Cancelor. Ahli panel seminar tersebut ialah Awg. Markandi bin Kusus (DBP), Dyg. Faridah bte Abd. Hamid (MD) dan Dyg. Siti Khadijah bte Haji Metali (UBD). Seminar dan Pendidikan ini akan dipengerusikan oleh Awg. Syawal Nizam bin Haji Yani (UBD).
"Sastera Bukan Sekadar Tulisan atau Cerita Khayalan"


Category:

Kegiatan Seni di Negara Brunei Darussalam : Titian Puisi Aidilfitri 2010


Pada 3 oktober 2010 yang lalu, Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERWANI) telah mengadakan Titian Puisi Aidilfitri di SEAMEO VOCTECH, Jalan Gadong. Kegiatan Titian Puisi Aidilfitri tersebut dihadiri oleh ahli-ahli ASTERAWANI seperti Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, Yang Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin, Prof. Madya Dr. Ampuan Haji Ibrahim (Ketua ASTERWANI 1), Dr. Morsidi Haji Muhammad (Ketua ASTERAWANI 2), Z.A Ariff Brunei, Kamis Haji Tuah, Muslim Burmat dan ahli-ahli ASTERAWANI yang lain lagi.





Tujuan kegiatan Titian Puisi Aidilfitri tersebut adalah untuk menyemarkan dan memeriahkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri ketika itu. Kegiatan-kegiatan tersebut merangkumi mendeklamasikan puisi atau sajak daripada ahli-ahli ASTERAWANI secara bersahaja atau "bersantai". Di samping itu, kegiatan tersebut menampilkan ahli-ahli ASTERAWANI yang baru, mengeratkan silaturrahim dan bertukar-tukar fikiran di kalangan ahli-ahli ASTERAWANI, membacakan surah Yassin serta doa tahlil bagi junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W, keluarga rasulullah, sahabat-sahabat rasulullah, ahli-ahli ASTERAWANI dan semua masyarakat Islam yang telah kembali kerahmatullah lebih awal.

Puisi Syahdu Syawal
Terimalah wasiat alam yang kian berputar meninggalkan ramadhan,
Syahdu syawal kembali menyapa,
Mensuci jiwa sebelum di Madrasah Ramadhan,
Sucikan jiwa di lebaran yang penuh mulia.

(Adi Aswara, 2009)




Category: