Bicara An-Nur : 'Rapat Dunia Lupa Akhirat' Meruntuhkan Akhlak Manusia

'Rapat dunia lupa Akhirat'
meruntuhkan akhlak manusia
 

 
MUFTI Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Kampung Perpindahan Mata-mata, Gadong sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam. (Foto : Ak. Amirulnizam Pg. Haji Ali) 
 
GADONG, Jumaat, 22 Januari. - 'Rapat dunia lupa Akhirat' meruntuhkan akhlak manusia kerana pada zaman ini manusia paling rapat kepada dunia, paling sibuk dengan dunia, paling kasih, lalai, asyik dan mabuk dengan dunia dan lantaran itu ramai orang lupa kepada Akhirat.

"Akhirat kabur di hati dan jiwa kita dan yang terus bergemerlap dan berkilauan ialah dunia dengan segala perhiasannya, tarikannya, sorak-surainya, mainannya, hiburan dan segala pesonanya yang menjadikan Akhirat serta segala nikmatnya bertambah-tambah jauh dan kabur dari hati nurani manusia," jelas Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam Kuliah Subuh Bersama Mufti berlangsung di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong.

Yang ada tambah Yang Berhormat Pehin, lumrah dan rancak berebut dunia, berebut nikmat dunia dan berlumba-lumba membina dunia dengan bahan-bahan yang dikutuk oleh Allah dan dibenci oleh agama.

Menurut Yang Berhormat Pehin, untuk menjadi kaya, orang mahu berbuat apa saja: makan riba, rasuah, menipu, bercakap bohong, bersumpah palsu dan lain-lain.

"Ada rezeki daripada Allah tidak mahu puas, kalau berkongsi milik datanglah tamak, kawan kongsi dianiaya/dibinasa supaya diri sendiri mendapat lebih atau dapat membolot semuanya," ujar Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menegaskan, tamak haloba membawa binasa, orang yang percaya perkara-perkara ghaib, seratus-peratus percaya, tidak akan bersifat tamak, takut untuk menjadi manusia yang tamak, manusia yang bersifat hasad dengki dan khianat kerana mereka takut pada neraka, takut pada soalan-soalan dalam kubur yang sedang menunggu dan takut pada hisab di Hari Kebangkitan yang sedang menunggu.

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan, manusia mempunyai pangkat dan darjat masing-masing, di mana pangkat dan darjat manusia itu berbeza-beza dan ditentukan oleh keadaan hati masing-masing.

Hati manusia itu terbahagi kepada tiga, iaitu Qalbun Salim (hati yang selamat/hati yang sejahtera), Qalbun Maiyit (hati yang mati) dan Qalbun Maridh (hati yang sakit).

Yang Berhormat Pehin, dalam kuliah itu juga menyentuh mengenai hati manusia yang menjelaskan orang yang memiliki Qalbun Salim (hati yang selamat) mendapat petunjuk daripada Al-Qur'an, di mana mereka membaca Al-Qur'an dan cahaya Al-Qur'an itu menerangi hati-hati mereka.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, orang yang membaca Al-Qur'an tetapi akhlak dan gaya hidupnya bercanggah dengan ajaran Al-Qur'an maka hati orang yang seumpama ini mungkin saja bukan hati orang yang selamat kerana hati-hati yang selamat itu hanya milik bagi orang-orang yang bertakwa sahaja.

Yang Berhormat Pehin menambah, Sayyidina Ali Karramahullahu Wajhah mentafsirkan takwa itu ialah takut kepada Yang Maha Besar Allah, beramal dengan apa yang diturunkan Al-Qur'an, redha dengan kurnia Allah yang sedikit dan membuat persediaan untuk hari kemudian.

Yang Berhormat menegaskan, jika tidak ada sebagaimana yang dikatakan oleh Sayyidina Ali Karramahullahu Wajhah itu, maka itu bukannya takwa.

"Tidak takut Allah, tidak mengikut ajaran Al-Qur'an, tidak redha dengan pemberian Allah yang sedikit dan tidak ada usaha untuk membuat persediaan menghadapi mati, maka belumlah timbul cerita takwa itu, belumlah layak untuk ia dimiliki," terang Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, takwa adalah perkara hebat, perkara besar, perkara qudus/suci, perkara yang membawa ke syurga.

Dalam kuliah subuh tadi Yang Berhormat Pehin menegaskan, pemilik hati yang selamat mestilah ia beriman kepada perkara-perkara ghaib, kepada malaikat, jin, syurga dan neraka.
"Dia juga beriman kepada Hari Kebangkitan, Hari Perhimpunan di Padang Mahsyar, beriman kepada kitab-kitab Allah, kepada mizan (timbangan amal), kepada Kursy dan Arasy Allah Ta'ala, kepada Lauh, Qalam, Shirath," tegas Yang Berhormat Pehin.

Semua ini jelas Yang Berhormat Pehin, wajib dipercayai dan sesiapa yang mengingkarinya (tidak percaya), maka ia keluar daripada Islam.

Orang yang berhati selamat/sejahtera kata Yang Berhormat Pehin, pasti mempercayai perkara-perkara ghaib dan kepercayaan itu adalah jiwa amalnya, di akhirat kelak, mereka akan beroleh syurga kerana mereka tidak pernah lupakan akhirat dan nikmat Akhirat adalah idaman mereka.

Yang Berhormat Pehin selanjutnya berkata, kerana itu juga hati-hati mereka tetap bersih dan tetap sihat dalam makna tetap selamat tanpa dicemari oleh sebarang penyakit sebab hati yang berpenyakit tidak mampu untuk menunjukkan jalan ke syurga.

Kuliah Bersama Mufti yang diadakan selepas menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong adalah juga bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1431/2010.

Sumber : Pelita Brunei
Category: