Bicara An-Nur : Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Baginda saw ada meninggalkan wasiat kepada kita umat Islam melalui khtubah terakhir Nabi Muhammad saw yang disampaikan pada 9hb.Zulhijjah 10H, di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Gunung Arafah atau juga dikenali sebagai Bukit Arafah adalah satu tempat menyaksikan pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa setelah dicampakkan ke bumi. Semestinya pada musim Haji ramailah orang disini kerana Wukuf di Arafah merupakan satu daripada Rukun Haji.

Simpanlah wasiat ini untuk tatapan diri sendiri juga untuk anak-anak cucu kita. Perhatikan amanat-amanat yang telah dituturkan sendiri oleh junjungan besar Rasulullah saw moga-moga menjadi peringatan untuk kita. Bersaksilah bahawa kalimat-kalimat terakhir Nabi juga Rasul Allah yang terakhir ini cukup menghibakan dan menitiskan airmata. Hayatilah dengan mata hati!

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wahai Manusia,
Dengar baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai Manusia,
Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia,
Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia,
Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikan solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan dan tunaikan zakat dari kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada satu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanKu.

Wahai Manusia,
Tidak ada Nabi atau Rasul yang akan datang selepasKu dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataKu yang telah Aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan SunnahKu.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanKu menyampaikan pula kepada orang lain. Semuga yang terakhir lebih memahami kata-kataKu dari yang terus mendengar dariKu. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah Aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.....

[khutbah di atas adalah khutbah perpisahan / terakhir Rasulullah saw yang disampaikan semasa baginda RasulAllah saw mengerjakan Haji Wida’.]

“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)

Sengaja aku lampirkan semoga aku termasuk dalam : "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanKu menyampaikan pula kepada orang lain". Walaupun kalian dah tengok, dah baca berulang kali hatta dah hafal pun!
Category: 0 comments

0 comments:

Post a Comment