Bicara An-Nur : Menunaikan Fardu Haji

IBADAH Haji merupakan satu kewajipan bagi umat Islam yang sudah mampu untuk melaksanakannya, baik secara jasmani mahupun secara rohani. Mampu di sini menunjukkan kepada kemampuan untuk menyediakan bekal selama perjalanannya menunaikan haji sehingga dia pulang ke tanah airnya. Seorang fakir yang tidak mempunyai harta yang tidak mampu menanggung perbelanjaan kehidupannya serta keluarganya maka tidaklah wajib baginya melaksanakan ibadah haji. Dan begitu juga ketika seseorang yang memiliki harta yang cukup tetapi tidak ada kenderaan untuk pergi melaksanakan ibadah haji kerena tempatnya yang jauh dan tidak boleh ditempuhi dengan berjalan kaki ataupun perjalanannya tidak aman atau situasi perjalanan yang membahayakan maka tidak wajib baginya ibadah haji, kerana semua itu dikategorikan kepada tidak mampu dan tidak wajib melakukan ibadah haji.

Haji merupakan salah satu Rukun Islam. Islam sangat menganjurkan kepada umatnya untuk melaksanakan ibadah haji tersebut. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadisnya memotivasi kita untuk melaksanakannya yang bermaksud:

"Barang siapa yang melaksanakan ibadah haji, kemudian tidak berkata kotor dan tidak berbuat kefasiqkan, akan dibersihkan dosadosanya, sebagaimana waktu ia baru dilahirkan oleh ibunya."

Dalam hadis lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda yang bermaksud: "Haji mabrur tidaklah ada balasannya kecuali Syurga." Begitu pentingnya ibadah haji ini sehingga
Rasulullah sangat menganjurkan ibadah ini dengan mengumpamakan seorang yang sudah melaksanakan ibadah haji akan suci sebagaimana seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi, begitu juga bagi orang yang melaksanakan ibadah haji dan ia memperolehi haji yang mabrur, maka dia akan mendapat balasan Syurga, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis tadi.

Allah Subhanahu Wata'ala juga berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 197, tafsir-Nya:

"(Musim untuk mengerjakan) ibadah haji itu ialah pada beberapa bulan yang termaklum. Oleh itu sesiapa yang telah mewajibkan ke atas dirinya (dengan niat ihram mengerjakan) ibadat haji pada bulan-bulan itu, maka tidak boleh mencampuri isterinya dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan ianya diketahui oleh Allah. Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa. Dan bertakwalah kamu kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Firman Allah Subhanahu Wata'ala ini menegaskan kepada kita bahawa ketika kita sudah berazam (menetapkan niat) untuk melaksanakan ibadah haji, hendaklah dia mempersiapkan dirinya dengan sebaik-baiknya. Persiapan itu adalah seperti tidak berkata-kata perkara yang kotor, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan ketika melaksanakan ibadah haji. Kerana ibadah haji merupakan ibadah yang sangat mulia, Allah Subhanahu Wata'ala mengisyaratkan untuk benar-benar membersihkan dirinya dari sifat-sifat, tingkah laku dan akhlak yang tercela. Hal ini adalah saranan untuk mendapatkan haji yang mabrur yang sudah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Pada akhir ayat ini sangat jelas diterangkan bahawa sebaik-baik bekal untuk melaksanakan ibadah haji adalah takwa. Persiapan menjelang ibadah haji adalah dengan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Melakukan amalan-amalan wajib dan sunnah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ertinya seseorang yang akan melaksanakan ibadah haji sudah tergambar kebersihan dirinya sebelum melaksanakan ibadah tersebut. Berbeza dari yang banyak difahami orang bahawa kebersihan diri didapatkan setelah melaksanakan ibadah haji. Banyak orang beranggapan bahawa setelah haji dia akan lebih taat kepada Allah. Ketahuilah bahawa setiap perbuatan atau ibadah yang kita lakukan, berjaya atau tidaknya banyak tergantung kepada persiapan dan perbekalan yang sudah disiapkan.

Banyak makna-makna yang tersirat dalam pelaksanaan ibadah haji, di antara rukun-rukun ibadah haji sebagai berikut:

* Ihram dari Miqat mengajarkan kita supaya mendisiplinkan diri dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Ketika melakukan ihram melampaui miqat, maka seseorang akan dikenakan dam. Begitulah ibadah haji mengajarkan kepada seorang Muslim untuk berdisiplin dan taat kepada aturan Allah. Dengan memakai pakaian ihram yang tidak berjahit dan berwarna putih mengajarkan kita kepada persamaan darjat. Ketika seseorang memakai pakaian ihram, tidak akan nampak perbezaan pangkat dan darjat di kalangan mereka hanya ketakwaan kepada Allah sajalah yang membezakan kita.

* Tawaf bererti mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali. Tawaf ini diumpamakan seperti sembahyang. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Tawaf mengelilingi kaabah adalah seperti sembahyang akan tetapi kamu boleh berbicara di dalamnya dan barang siapa yang berbicara maka hendaklah membicarakan hal yang baik-baik."

* Sa'i iaitu berlari-lari kecil antara Bukit Safa dan Marwa semata-mata untuk melakukan ibadah kepada Allah, mengingatkan kita pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya yang sedang kehausan, iaitu Siti Hajar dengan anaknya Nabi Ismail Alaihissallam.

* Wukuf di Arafah, mengajarkan kita makna kebersamaan dan mengingatkan kita akan Hari Kiamat di mana manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya di dunia, dengan melakukan wukuf di Arafah. Para hujjaj merasakan bahawa hari berkumpul di Padang Mahsyar itu pasti ada dan setiap kita akan diminta pertanggungjawabkannya. Wukuf di Arafah merupakan rukun yang terpenting dalam ibadah haji, sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengatakan al-hajju Arafah, ertinya: Haji itu adalah Arafah.

Kemudian setelah wukuf di Arafah, para hujjaj bermalam di Muzdalifah kemudian di Mina, para jemaah haji akan melakukan jumara'at, iaitu: Melemparkan batu kerikil sebanyak tujuh biji ke tempat jumara'at masing-masing. Ini memberikan makna bahawa kita sentiasa berjuang untuk melawan hasutan iblis dan syaitan yang sentiasa mengganggu manusia.

Ibadah haji merupakan muktamar besar umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan datang bersama-sama untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Suatu ibadah yang tidak dimiliki oleh agama lain ini tentunya akan mempereratkan persatuan dan kesatuan umat dan akan terjalin ukhuwwah Islamiah yang menyeluruh bagi umat manusia daripada seluruh dunia. Ibadah haji mengajarkan kita sikap thawadhu', melupakan pangkat dan darjat, tidak ada perbezaan antara orang kaya dan miskin, tidak ada perbezaan pakaian melainkan pakaian ihram yang disarankan, bersama-sama berkumpul di Arafah, tidak membicarakan perkara-perkara yang mungkar, tidak ada yang meninggikan mereka melainkan darjat ketakwaan mereka di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Sumber : Pelita Brunei
Category: