Bicara An-Nur : Laksanakan Rukun Haji Dengan Sempurna (Khutbah Jummat)

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Kita sekarang telah berada di bulan Zulkaedah dan tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Zulhijah, bulan di mana umat Islam yang berkemampuan akan berpeluang mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji. Begitulah juga di Negara Brunei Darussalam, insya-Allah bakal jemaah haji akan berpeluang menunaikan ibadat haji dan mereka akan mula berangkat secara berjadual meninggalkan tanah air menuju ke Tanah Suci Mekah Al-Mukaramah bagi mengunjungi Baitullah Al-Haram untuk menunaikan tuntutan ibadah haji. Kita berharap bakal jemaah haji telah membuat persediaan awal dari segi fizikal, mental dan mengetahui panduan yang berhubung kait dengan ibadah haji atau dikenali sebagai manasiq haji.

Ibadah haji adalah diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat untuk mengerjakannya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 97 tafsirnya:

"Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa mengingkari kewajipan ibadat haji, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian alam."

Di dalam Al-Qur'an telah dinyatakan bahawa bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadat haji itu hendaklah berkuasa atau berkemampuan. Apa yang dimaksudkan dengan berkuasa atau berkemampuan itu ialah bakal jemaah haji hendaklah mempunyai kewangan yang mencukupi, memastikan tubuh badan sihat dan perjalanan pergi balik ketika mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selamat. Berkemampuan bukan setakat bererti mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa menunaikan fardu haji sahaja, bahkan juga hendaklah berkemampuan untuk menyediakan nafkah dan perbelanjaan yang cukup untuk sara hidup bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan. Inilah ertinya pengorbanan yang harus dihadapi oleh para jemaah yang hendak menunaikan ibadat haji, mereka bukan sahaja perlu membelanjakan wang yang banyak, malahan juga turut berkorban masa dan tenaga serta perasaan kerana meninggalkan keluarga semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala sebagai tanda taat, syukur dan cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Untuk itu, bagi mereka yang telah sempurna syarat-syarat untuk mengerjakan ibadat haji, hendaklah mereka menyegerakan tanggungjawab tersebut. Apatah lagi Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bersegera dalam membuat amal kebajikan lebih-lebih lagi ibadat yang dituntut dan diwajibkan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 133 tafsirnya:

"Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan Syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa."

Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan sesuatu ibadat itu kepada hamba-hamba-Nya setentunya mempunyai hikmah dan ada ganjarannya. Begitu juga ibadah haji. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan ibadah haji itu sangat banyak maka alangkah beruntungnya mereka yang dapat melaksanakan ibadat tersebut khususnya kepada saudara-saudara kita yang akan mengerjakan haji pada tahun ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasiq, maka dia suci daripada dosa-dosanya seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dari hadis itu telah menjelaskan betapa Allah Subhanahu Wata'ala telah menjanjikan ganjaran yang sangat tinggi nilainya, siapakah yang tidak mahu dirinya suci dari dosa seumpama anak damit yang baru lahir? Sudah tentunya setiap orang mahukan dirinya bersih dan suci dari segala dosa. Oleh itu jika kita mahu memperolehi ganjaran tersebut, ibadah haji hendaklah dikerjakan dengan tulus ikhlas, bersungguh-sungguh dan berhati-hati agar ibadat haji yang dikerjakan itu mendapat haji yang mabrur dan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya haji yang mabrur itu ganjarannya adalah Syurga, tempat yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Dan haji yang mabrur itu yakni yang diterima itu tiada balasan baginya selain Syurga." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Memang tidak dinafikan semua orang yang mengerjakan ibadat haji itu mahu mendapatkan haji yang mabrur. Justeru para bakal jemaah haji hendaklah melaksanakan rukun-rukun dan wajib-wajib serta sunat-sunat haji itu dengan sempurna. Selain itu para bakal jemaah haji janganlah sekali-kali mengabaikan ibadat-ibadat yang wajib seperti ibadat sembahyang fardu lima waktu hendaklah ditunaikan dalam waktunya, walaupun pada ketika itu para jemaah sedang sibuk dan penat melakukan ibadat-ibadat dan manasiq haji. Di samping itu mereka juga hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengerjakan Sembahyang Sunat Rawatib, membaca Al-Qur'an, memperbanyakkan tawaf sunat, berdoa, berzikir, berselawat, beriktikaf dan bersedekah. Apa yang penting mereka hendaklah juga memelihara diri dari melakukan sebarang perbuatan berdosa seperti memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku. Para jemaah juga hendaklah menjauhi dari melakukan perkara-perkara karut atau khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Meskipun pada masa ini perkara khurafat semakin tidak lagi kedengaran dilakukan oleh para jemaah haji kita, namun kita hendaklah sentiasa saling beringat agar para jemaah tidak terpedaya atau terpengaruh oleh hasutan syaitan untuk melakukan apapun jua perbuatan khurafat, kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan ibadah haji malahan juga boleh menjejaskan akidah seseorang.

Apabila berada di tanah suci nanti, sememangnya para bakal jemaah haji akan menghadapi banyak kesulitan dan rintangan. Mungkin ada di antara mereka yang akan menghadapi kepayahan dan kesukaran kerana tidak biasa dengan keadaan bersesak-sesak dan berhimpit-himpit, ataupun merasa kurang selesa kerana kemudahan yang tidak mencukupi, ataupun terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah yang timbul antaranya masalah kesesakan jalan raya seperti perjalanan menuju daripada Arafah ke Mina, ataupun menunggu ketibaan kenderaan pengangkutan yang terlalu lama, ataupun terpaksa menghadapi kerenah-kerenah orang di sekeliling yang pelbagai ragam yang mungkin tidak menyenangkan hati dan sebagainya. Maka dalam menghadapi kesulitan dan rintangan tersebut, para jemaah haji hendaklah menghadapinya dengan tabah, sabar dan reda serta memperbanyakkan doa dan zikir supaya hati menjadi tenang dan tenteram. Peliharalah diri dari bersifat marah, mengeluh atau merungut dalam menghadapi apa jua kesukaran atau ketidakselesaan ketika berada di Tanah Suci nanti. Semua ini hendaklah diterima sebagai ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dalam usaha untuk mendapatkan haji yang mabrur sebagainya yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita bersyukur dan merasa gembira dengan saudara-saudara kita yang berpeluang dan beruntung untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. Semoga kesempatan yang diperolehi tidak disia-siakan bahkan akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kita berharap bagi umat Islam yang belum berkesempatan menunaikan fardu haji pada tahun ini akan berazam dan bertekad untuk mengerjakan tuntutan haji pada masa hadapan dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya marilah kita mendoakan semoga para bakal jemaah haji, khasnya jemaah haji Negara Brunei Darussalam akan sentiasa beroleh keselamatan dan kesihatan yang baik serta dapat mengerjakan wajib-wajib haji dan manasiq haji dengan sempurna dan seterusnya semoga mereka selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air dengan memperolehi haji yang mabrur. Amin Ya Rabbal'alamin.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Hajj, ayat 27-28 tafsirnya:
 
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai-bagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak untuk dijadikan korban, dengan yang demikian makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."


Sumber : Pelita Brunei
Category: