Bicara Seni : Gabungan Penerbitan dan Sasterawan Jadi Proses Peningkatan Dalam Dunia Sastera


Dato' A. Samad Said (Sasterawan Negara Malaysia)
Kerjasama antara penerbit dan sasterawan mampu membawa pesanan dan ilmu bernilai kepada pembaca di Malaysia.

"PTS jauh lebih gemuk dan mempunyai bilik-bilik seni yang lebih besar. Tidak ada salahnya ia mengisi dengan betul. Kerjasama ini mengisi satu pesanan kepada pembaca. Di samping niaga, kita berbakti dan menyampaikan ilmu," jelas Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said ketika berkunjung ke PTS.

Bagi beliau, pintu yang dibuka PTS Fortuna tidak harus dilepaskan kerana ia merupakan proses peningkatan dalam menggerakkan karya-karya sastera di Malaysia.

Beliau yang mendapatkan kembali hak cipta karyanya daripada penerbit asal berharap karya beliau diterbitkan dan disebarkan dengan baik oleh PTS selaku penerbit bahasa Melayu nombor satu di Malaysia.

Pada satu Oktober lalu tercatat sejarah apabila secara rasminya PTS Fortuna Sdn bhd menerbitkan semula karya hasil tulisan Pak Samad.

Setelah mengambil kembali hak cipta daripada penerbit asal Pak Samad menerbitkan buku beliau bersama syarikat Wira Bukit.

Sejak tahun 2003, Wira Bukit menerbitkan 13 buah buku Pak Samad termasuklah buku-buku yang diambil kembali hak penerbitannya daripada penerbit sebelum ini. Dalam masa yang sama, Wira Bukit juga mencari penerbit yang sesuai bagi menerbitkan dan mempromosikan buku-buku Pak Samad.

Wira Bukit Sdn. Bhd yang diuruskan oleh Anak Pak Samad sendiri iaitu Tuan Helmy Samad memberikan sepenuhnya hak penerbitan kepada PTS Fortuna bagi menerbitkan semua karya-karya hasil tulisan Pak Samad. Nantikan buku-buku tulisan Pak Samad terbitan PTS yang bakal menemui peminat buku pada Januari 2011 ini. (Hasil tulisan Roziah, 20 Oktober 2010)

Category: