Bicara Seni : Tika Muzik dan Seni Bersatu




INSAN seni mudah tersentuh jiwanya. Ungkapan itu memang ada kebenaran�nya. Apa yang pasti, baris-baris sajak Datuk A Samad Said menerusi Rindu Ibu bukan saja menyentuh perasaan penonton, malah beliau turut mengalirkan air mata sewaktu mendeklamasikannya.

Persembahan bertajuk Suara Tulus selama 60 minit sempena KLCC Seni Festival 2010 diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Penyampaian unik menggabung�kan insan seni terbaik dalam bidang masing-masing melalui penyampaian puisi, muzik solo serta orkestra dan vokal.

Kolaborasi Sasterawan Negara itu bersama pemain piano, Foo Mei Yi, pemain harp, Tan Keng Hong dan penyanyi neo-soul, penyusun lagu, Taheera membuatkan penonton terpukau.

Taheera Rosheena

Buktinya mereka menerima tepukan gemuruh penonton pelbagai latar dan peminat seni termasuk pelancong luar. Turut kedengaran dalam dewan klasikal kebanggaan negara adalah beberapa kolek�si sajak terbaik Sasterawan Negara itu seperti Suara Tulus, Tetamu Senja dan Khazanah. Beliau diiringi instrumen bertali MPO Seni Ensemble, dibimbing konduktor, Liu Jian.

Persembahan menyaksikan kecekapan Mei Yi bermain piano muzik klasik Eropah. Keupayaannya terserlah apabila pernah dilabel ‘pemain piano perlu diberi perhatian’ oleh BBC Radio 3 Britain dan ‘Bintang Sedang Meningkat Naik’ oleh Majalah Antarabangsa Piano.

Mei Yi, artis konsert klasikal berpangkalan di London, mempamer kecekapan meleretkan jari-jemari pada mata piano serta lenggok dan emosi tersendiri.

Dia memainkan empat karya komposer romantik Perancis, Claude Debussy iaitu Etude: pour les Arpeges composes, Prelude: La Puerta del Vino, Estampes: Pagodes dan Prelude: La fille aux cheveux de lin.

Pemain harp, Tan Keng Hong tidak ketinggalan mempamerkan kehebatan bermain alat 47 tali mendendangkan dua karya komposer harp Perancis kelahiran Belgium, Alphonse Hasselmans bertajuk Chanson de Mai dan La Source.

Penyanyi neo-soul, Taheera tampil dengan pakaian merah jambu bertudung kepala, menyanyikan Suara Tulus dengan iringan petikan harp Keng Hong.

Kata Pak Samad, idea mengenengahkan sajak puisi menjayakan KLCC Seni Festival diterjemahkan dengan baik oleh Taheera dan MPO Seni Ensemble.

“Secara asasnya, muzik latar dan vokal memang sudah disediakan Taheera. Perasaan awal berdebar bertukar ceria kerana bukan mudah mendapat peluang menimba pengalaman berharga mendeklamasi puisi ke pentas lebih tinggi diiringi pemuzik klasikal.

“Sewaktu menyampaikan Rindu Ibu, hati memang terlalu sedih. Saya turut terharu mendapat penghormatan apabila paparan karya Bisik Warna terpampang sebagai latar sewaktu Mei Yi bermain piano.

“Saya tidak tahu apa difikirkan penonton mengenai deklamasi hari ini. Apapun, saya gembira dan berbesar hati mendapat undangan menjayakannya.

“Konduktor muzik juga bijak menghidupkan suasana. Paling penting, persembahan kolaborasi seperti ini membuktikan sumbangan sasterawan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Saya dapat terus mengenengahkan karya terbaik sempena Seni Festival KLCC selepas ini,” katanya.

Mei Yi berada selama sebulan di Malaysia, berkata, dia teruja menjayakan persembahan julung kali bersama nama besar seperti Pak Samad.

“Kolaborasi seni dengan visual Bisikan Warna kali pertama mengiringi pertunjukan menawarkan pengalaman baru. Repertoire Debussy memang pilihan sendiri. Lagipun, Pagodes ditulis berasaskan inspirasi bunyi instrumen gamelan Jawa daripada sebuah kepulauan di Indonesia.

“Selain Seni Festival KLCC, beberapa siri jelajah akan diadakan. Antaranya mengadakan masterclass piano ke Perak dan Pulau Pinang bagi memperkenalkan MPO kepada orang ramai. Persembahan antarabangsa pula akan diadakan di Guatemala dan Sweden,” katanya.

Taheera yang sudah lama mengikuti serta perkembangan sastera Pak Samad menganggap pejuang sastera itu unik dengan caranya tersendiri.

“Saat seperti ini sudah lama ditunggu. Saya berbesar hati dapat menyanyikan lagu puisi Pak Samad. Bagi saya, beliau memberi banyak mesej kemasyarakatan dalam penyampaiannya. Hakikatnya, puisi beliau turut diminati pelancong dan peminat seni dari luar negara,” katanya.

Tulisan : Esme Johari Wahab (myMetro)

Category: